Home Dunia Bos Samsung ditahan skandal rasuah

Bos Samsung ditahan skandal rasuah

SEOUL- Peneraju Kumpulan Samsung, Jay Y Lee ditahan awal pagi Jumaat berhubung skandal rasuah yang melibatkan pemimpin utama Korea Selatan.

Lee, 48, yang berasal daripada keluarga terkaya di negara tersebut ditahan di Pusat Tahanan Seoul selepas semalaman menunggu keputusan berkenaan.

Reuters melaporkan, Lee ditahan di sebuah sel yang dilengkapi dengan televisyen dan meja, kata seorang pegawai penjara.

Pihak pendakwaan mempunyai 10 hari untuk mendakwa Lee yang juga generasi ketiga yang menjadi peneraju Samsung.

Pihak pendakwaan bagaimanapun masih boleh melanjutkan tempoh sekiranya perlu.

Selepas pendakwaan, mahkamah perlu melakukan keputusan dalam tempoh tiga bulan.

Masih tiada keputusan dibuat sama ada penahanan boleh boleh dicabar atau Lee boleh mendapatkan ikat jamin, kata jurucakap Samsung.

Lee dan Samsung menafikan sebarang salah laku di dalam kes ini.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kebenaran didedahkan dalam prosiding mahkamah nanti,” kata Kumpulan Samsung dalam kenyataan ringkas selepas penahanan Lee.

Mahkamah yang sama telah menolak permohonan untuk menahan Lee namun pendakwaraya telah mengemukakan tuduhan tambah terhadap beliau pada Selasa lalu.

“Kami maklum dengan perkara tersebut dan keperluan untuk menahan beliau,” kata seorang hakim.

Meskipun penahanan Lee dijangkakan tidak akan menjejaskan operasi harian Samsung yang dikendalikan oleh pengurusan profesional, pakar-pakar berpendapat, ia tetap akan memberi kesan kepada proses membuat keputusan konglomerat terbesar Korea Selatan itu.

Samsung ketika ini sedang menjalani proses penstrukturan semula bagi memberi laluan mudah kepada Lee untuk mengambil alih kuasa selepas ayahnya hilang upaya akibat serangan jantung pada 2014.-MalaysiaGazette