Home Sukan Mourinho belum puas hati

Mourinho belum puas hati

MANCHESTER – Pengurus Manchester United , Jose Mourinho menyifatkan pemainnya tidak menunjukkan persiapan mental yang sempurna ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Saint-Etienne pada pertembungan Liga Europa, awal pagi tadi.

Hatrik Zlatan Ibrahimovic membolehkan United meraih kemenangan bergaya pada aksi pertama peringkat 32 terakhir di Old Trafford itu tetapi keputusan itu tidak menggambarkan persembahan sebenar mereka.

Saint-Etinne menamatkan babak pertama lebih baik dan pemain gantian Nolan Roux melepaskan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan sebelum Ibrahimovic menambah gol kedua pada minit ke-75.

Mourinho berkata, aksi babak pertama United ‘amat buruk’ dan apabila ditanya mengapa, dia menyifatkannya berpunca daripada ‘kurangnya fokus’.

“Saya dapat merasakan satu perasaan di bilik persalinan, terlalu bising, lucu dan santai,” katanya kepada pemberita.

“Kemudian penolong saya pun merasai perkara sama ketika sesi pemanas badan, dengan ada beberapa pemain tidak begitu fokus dalam mendapatkan adrenalin yang betul untuk beraksi.

“Sebaik aksi bermula kesilapan pertama yang kami buat adalah hantaran ke belakang yang lemah (oleh Eric Bailly) untuk menyaksikan situasi satu lawan satu di antara penjaga gol (Sergio Romero) dan penyerang mereka.

“Kekurangan fokus. Apabila anda tidak memilikinya, ia sukar untuk pulih sekali gus menjadikan babak pertama sukar.

“Malah, saya di tepi padang juga sukar untuk berkomunikasi. Saya menunggu sehingga rehat separuh masa. Kami bernasib baik untuk mendahului 1-0 ketika itu. Selepas itu, cerita dan keputusan yang berbeza, ” katanya.

Saint-Etienne adalah antara mangsa kegemaran bintang veteran Sweden, Ibrahimovic ketika beraksi bersama Paris Saint-Germain dengan tiga jaringan berkenaan menyaksikannya kini mengumpul 17 gol sepanjang 14 perlawanan bertemu kelab Perancis itu.

Kemenangan juga memberikan skuad bimbingan Jose Mourinho selangkah ke peringkat 16 terakhir menjelang perlawanan timbal balik di laman lawan, Khamis minggu depan.

Begitupun, pada perlawanan kedua di Stade Geoffroy-Guichard kelak, United kehilangan khidmat Ander Herrera selepas dilayangkan kad kuning yang menyaksikannya digantung satu perlawanan.

Kejayaan menewaskan Saint-Etienne turut bermakna seorang lagi bintang United, Paul Pogba muncul pemenang pada aksi kompetitif pertama bertemu pasukan abangnya, Florentin dan hampir menjaringkan gol sebelum cubaannya sekadar menggegar palang. – MalaysiaGazette