Home Utama Orang Islam tentang RUU munafik, bukan Islam pula jahil – Sayap Penyokong...

Orang Islam tentang RUU munafik, bukan Islam pula jahil – Sayap Penyokong Pas

Seorang lelaki memegang sepanduk yang menyatakan sokongan pada Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 18 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Sayap Penyokong Pas yang terdiri daripada ahli bukan Islam menyifatkan orang Islam yang menentang Rang Undang-Undang (RUU) 355 sebagai munafik, sementara bukan Islam pula sememangnya diketahui adalah jahil.

Dr Balachandran G KrishnanKetua Penerangannya, Dr. Balachandran G. Krishnan berkata polemik yang tercetus terhadap RUU yang dibawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpunca daripada orang Islam sendiri yang menentangnya dan kemudiaan menyebabkan bukan Islam menjadi keliru.

“Yang menjadi masalah adalah, anggota Parlimen Islam yang membantah RUU 355 dan orang Islam munafik yang melawan RUU 355. Itulah masalahnya, itu yang merumitkan keadaan,” katanya dalam majlis penerangan RUU di Markas Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak semalam.

Akibatnya, tegas beliau, orang bukan Islam menjadi keliru.

“Tapi saya tidak keliru kerana saya ditarbiahkan pimpinan PAS, lain dari yang lain,” katanya disambut laungan ‘Allahuakbar’ dari hadirin.

“Orang bukan Islam yang tidak sokong RUU 355 itu bukan menjadi masalah sebab mereka memang jahil,” katanya.

Sebab itu, kata Balachandran, orang Islam wajib bersatu dalam mendaulatkan Islam

“Orang Islam harus mendekati mereka yang membantah (RUU 355) dengan kasih dan sayang dan terus memberi penerangan secara khusus untuk sedarkan mereka bahawa menjadi tanggungjawab orang islam untuk mengabdikan diri mereka dan reda dengan kehendak Allah,” tambahnya.

Himpunan RUU 355 yang dianjurkan oleh Pas dan 10 NGO lain akan bermula jam 2 petang ini dan dijangka berterusan sehingga 11 malam.

Himpunan ini bagi untuk menyokong RUU Ahli Persendirian yang dibawa oleh Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang lebih dikenali sebagai Akta 355, yang akan membolehkan mahkamah syariah mengenakan hukuman yang lebih keras terhadap pesalah. – MalaysiaGazette