Home Nasional Peserta himpunan mahu RUU355 jadi kenyataan

Peserta himpunan mahu RUU355 jadi kenyataan

Orang ramai memenuhi kawasan padang bagi menghadiri Perhimpunan RUU 355 anjuran Pas di Padang Merbok, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL 18 FEBRUARI 2017
KUALA LUMPUR – Orang ramai yang hadir ke perhimpunan menyokong Rang Undang-Undang (RUU355) anjuran Pas di Padang Merbok di sini mengharapkan agar usaha yang dilakukan menjadi realiti.

Rata-rata mereka yang ditemui MalaysiaGazette memberitahu, sudah tiba masanya Malaysia mengamalkan undang-undang berlandaskan Islam.

Guru di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Misriah Jasir, 52, berkata, umat Islam di negara ini wajar menyokong usaha yang dilakukan oleh PAS kerana ia membawa manfaat kepada keseluruhan rakyat.

“Jika perkara ini menjadi kenyataan sudah pastinya negara ini akan aman dan rakyat dapat hidup sejahtera,” katanya.

Hairusalleh Abd. Latif, 52, seorang peniaga berkata, sebagai sebuah negara demokrasi seharusnya tidak ada pihak yang menentang usaha ini kerana ia bukan sahaja memfokuskan kepada orang Islam malah, turut membawa kebaikan kepada semua.

“Orang bukan Islam tidak perlu takut jika undang-undang ini terlaksana sebaliknya harus mengucapkan syukur kerana dapat merasai bersama manfaatnya.

“Negara akan aman dan mereka akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih selesa,” ujarnya.

Bagi Mohd. Nazir Mk. Hamid pula, beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap usaha yang dilakukan itu dan percaya ia akan dapat dilaksanakan.

“Ini hukum Allah, tiada siapa boleh menentang. Kita wajib melaksanakannya jika tidak mahu dipersoalkan di akhirat nanti,” tegasnya.

Puteri Mohd. Sawari, 22, mendesak agar pihak-pihak yang menentang usaha untuk melaksanakan undang-undang Islam ini agar segera bertaubat dan menghentikannya kerana umat Islam di Malaysia sudah bangkit dan bersedia menerima hukum ini.

“Mereka tiada hak untuk menyekat apatah lagi mahu menghalang sedangkan mereka sendiri menumpang di bumi Allah,” ujarnya. – MalaysiaGazette