Home Ekonomi Mampu bayar dividen 5.7 % bukti strategi berhemah KWSP

Mampu bayar dividen 5.7 % bukti strategi berhemah KWSP

Caruman untuk pekerja 60 tahun sudah berkuatkuasa.

KUALA LUMPUR- Pembayaran dividen sebanyak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 5.7 peratus adalah jumlah yang cukup baik di sebalik cabaran yang dihadapi negara berikutan keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Alhamdulillah, KWSP telah umumkan dividen sebanyak 5.7 peratus yang berjumlah RM37.08 bilion kepada pencarum bagi tahun 2016

“Pembayaran dividen oleh KWSP ini adalah cukup baik meskipun kita berdepan keadaan ekonomi global yang amat mencabar pada tahun lalu, di mana banyak negara berdepan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.”

“Ini ditambah pula dengan ketidaktentuan dan perubahan dasar dan kepimpinan di Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara lain yang membawa kesan kepada pelaburan global.”

“Syabas kepada warga KWSP yang terus memastikan pulangan baik daripada pelaburan untuk manfaat hari tua pencarum,” katanya di dalam laman blog Najibrazak.com hari ini.

Kenyataan itu juga disokong oleh Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz di dalam satu kenyataan ringkasnya hari ini.

“Dengan persekitaran pelaburan yang sangat mencabar sama ada di dalam dan luar negara, ketidaktentuan pasaran disebabkan oleh Brexit dan kemenangan Presiden Donald Trump, pengumuman dividen sebanyak 5.7 peratus oleh KWSP adalah sangat baik dan menjadi cerminan kepada strategi pengurusan berhemah entiti itu,” katanya.-MalaysiaGazette