KUALA LUMPUR – Pengagihan dividen 5.7 peratus bagi tahun 2016 oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan pencapaian yang baik walaupun dalam keadaan pasaran sukar.
Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dalam kenyataannya berkata, dividen itu mencerminkan pengurusan berhemah organisasi itu, di tengah-tengah iklim pelaburan dalam dan luar negara yang sukar, di samping ketidaktentuan pasaran selepas Brexit dan kemenangan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat.
Pengumuman agihan dividen dibuat Sabtu lalu.
Pada tahun 2015, KWSP membayar dividen sebanyak 6.4 peratus.
Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman dalam kenyataannya berkata, KWSP gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.
Menurut beliau, bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran.
Sepanjang 2016, KWSP beroperasi dalam suasana pertumbuhan global yang kurang memberangsangkan selain berhadapan dengan perubahan polisi kewangan oleh ekonomi utama dunia, kejatuhan harga minyak, nilai mata wang domestik yang lemah serta aliran keluar modal yang tinggi dari pasaran negara membangun kepada pasaran negara maju dan kepada mata wang yang lebih selamat, katanya. – MalaysiaGazette