KUALA LUMPUR – Keputusan bedah siasat punca kematian abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dijangka dikeluarkan pada Rabu ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, keputusan itu meliputi proses bedah siasat normal yang dilaksanakan secara berterusan oleh pasukan forensik di negara ini.
“Kita sedang bincangkan mengenai tempoh masa normal untuk melengkapkan bedah siasat dan mengeluarkan laporan lengkap (punca kematian).
“Jadi dalam hal ini (bedah siasat Jong-nam), ya (keputusan pada Rabu),” katanya apabila ditanya sama ada laporan lengkap bedah siasat Jong-nam dapat diketahui selewat-lewatya Rabu ini.
Terdahulu, beliau telah melancarkan portal peluang kerjaya ‘Cancerfly’ yang memberi memberi peluang pesakit bekas pesakit kanser menjalani kehidupan dan meraih pendapatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Beliau meminta semua pihak memberi ruang dan masa yang secukup kepada pasukan forensik perubatan HKL menjalankan tugas mereka tanpa sebarang tekanan.
Kata beliau, pihaknya kena memahami bahawa proses bedah siasat untuk mencari punca kematian seseorang adalah proses berterusan yang dilakukan pasukan perubatan forensik.
Jelas beliau lagi, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk menangguh atau menyimpan keputusan bedah siasat.
“Apabila forensik sudah berpuas hati dengan hasil laporan lengkap bedah siasat itu, ia akan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Dalam hal ini, saya tidak dimaklumkan perkembangan terbaharu mengenai proses itu, kerana ia urusan melibatkan forensik dan polis, kita perlu memberi ruang untuk mereka (forensik) menjalankan tugas mereka.
“Memandangkan kes ini menarik perhatian antarabangsa, maka forensik tidak boleh diberi tekanan oleh mana-mana kerajaan atau media untuk menyegerakan proses itu, melampaui apa yang mereka sepatutnya lakukan,” kata Subramaniam.
Sebelum ini, Duta Korea Utara secara terbuka menuduh Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu dalam proses bedah siasat Jong-nam yang disyaki dibunuh pada 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2. – MalaysiaGazette