Home Nasional Kerajaan perlu kaji Diego Ride sebelum dibenar beroperasi

Kerajaan perlu kaji Diego Ride sebelum dibenar beroperasi

Datuk Seri Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji kewajaran pemberian permit terhadap teksi motosikal (Diego Ride) sebelum sebarang langkah dan keputusan diambil.

Aspek permintaan dan kepentingan ramai turut diambil kira sejajar dengan langkah kerajaan membenarkan Uber dan GrabCar beroperasi secara sihat dan bersaing dengan perkhidmatan teksi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurut beliau, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pengangkutan berhubung perkara itu dan ia memerlukan masa dan kajian yang mendalam.

“Kabinet belum membuat sebarang keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk membenarkan Diego Ride ini menjalankan operasinya secara sah.

“Kita perlu lihat sekiranya ada keperluan yang mendesak terutama dari generasi muda sama seperti yang kita lakukan terhadap Uber dan GrabCar sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Makmal Transformasi Bas Ekspres di sini, hari ini.

Tambah beliau, dalam hal ini kajian menyeluruh sangat penting kerana mungkin terdapat implikasi tertentu yang perlu diberikan perhatian. – Malaysia Gazette