Home Ekonomi KWSP sahkan penjualan aset di Australia

KWSP sahkan penjualan aset di Australia

Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan bakal menjual hartanah di Australia bagi mendapatkan pulangan tinggi hasil daripada pengukuhan permintaan terhadap hartanah di negara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, hartanah tersebut sudah dipegang selama lima tahun oleh KWSP dan sudah tiba masanya badan simpanan persaraan itu mencairkan asetnya untuk dilaburkan ke tempat lain.

“Kami sudah lama di Australia, sudah banyak aset yang matang ketika ini dan kami sentiasa mencari peluang untuk pelaburan semula.

“Ya, kami memang mahu menjual hartanah berupa pejabat di Canberra kerana sudah tiba masanya ia dilupuskan,” katanya semasa sidang media berhubung pengisytiharan dividen 2016 di sini hari ini.

Hartanah tersebut dipajak kepada jabatan kerajaan dan dijangka dijual pada harga A$300 juta.

KWSP memiliki 80 peratus daripada menara pejabat berkenaan yang dibeli pada 2012 bersama dengan pengurus dana berpangkalan di Singapura, CIMB Trust Capital pada harga A$226 juta.

Menyentuh mengenai portfolio pelaburannya di luar negara, Shahril Ridza berkata, mereka sedang berada di landasan terbaik untuk mencapai matlamat untuk memiliki 30 peratus pelaburan asing.

Setakat ini, KWSP sudah mencatatkan pelaburan di luar negara sebanyak 29 peratus.

Dalam perkembangan lain, Shahril Ridza berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan pemberian pinjaman kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kerajaan sendiri.

Jelasnya, ini kerana badan simpanan persaraan itu hanya memberikan pinjaman kepada syarikat-syarikat yang mempunyai penarafan yang tinggi sahaja.

Tegasnya, setakat ini tiada syarikat yang gagal menjelaskan hutang (default).

“Pendedahan kami cuma sekadar tiga peratus lebih sahaja daripada aset di bawah pengurusan (AUM) ini sudah termasuk pinjaman kepada kerajaan, GLC ,dan sekuriti kerajaan Malaysia (MGS).

“Ini kerana kami hanya memilih penarafan yang tinggi sahaja, sekurang-kurangnya AA.

“Kami selesa dengan pendedahan (hutang) tersebut dan kami juga melihat kepada pulangan yang tinggi,” katanya semasa sidang media berhubung pengumuman dividen KWSP 2016 di sini hari ini.

KWSP mengisytiharkan dividen bagi tahun 2016 sebanyak 5.7 peratus dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion di sebalik cabaran ekonomi domestik dan global.-MalaysiaGazette