Home Utama Najib harap Korea Utara fahami undang-undang Malaysia

Najib harap Korea Utara fahami undang-undang Malaysia

Reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diajukan soalan oleh media sewaktu beredar dari majlis perasmian " Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Silver Jubilee Celebration and Latest Book' sempena Persidangan Antarabangsa Agama dan Kelestarian Tamaddun di IKIM, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 20 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengharapkan supaya Korea Utara memahami proses undang-undang yang diguna pakai di negara ini dan menafikan dakwaan bahawa Malaysia mahu memburukkan negara republik itu berhubung pembunuhan warganya, Kim Jong-nam.

Najib mempertahankan siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia yang disifatkannya sebagai profesional dalam menjalankan tugas mereka.

“Polis dan doktor kita adalah sangat profesional. Saya penuh yakin mereka sangat objektif dalam apa sahaja mereka lakukan,” kata Najib kepada pemberita semasa ditemui di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada Isnin.

Mengulas mengenai dakwaan kerajaan cuba memberi gambaran buruk terhadap Korea Utara, Najib menafikannya dan berharap mereka memahami proses undang-undang yang diguna pakai di Malaysia

“Kita tidak ada sebab untuk memburukkan Korea Utara. Kita sentiasa objektif dan kita harap mereka memahami kita mengguna pakai undang-undang di Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, awal hari ini Korea Utara meluahkan rasa tidak yakin ke atas siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis Malaysia berhubung kematian Jong-nam.

“Sudah tujuh hari berlalu sejak kejadian itu, tetapi tidak ada bukti jelas mengenai punca kematian dan pada ketika ini, kami tidak boleh mempercayai siasatan oleh polis Malaysia walaupun, akan memperolehi laporannya.

“Ini hanya menimbulkan keraguan bahawa mungkin ada tangan lain di sebalik siasatan itu,” kata Duta Korea Utara, Kang Chol pada sidang akhbar di kedutaannya.

Susulan kenyataan itu, Wisma Putra mendedahkan mereka memanggil Kang Chol menjelaskan kenyataannya yang kelihatan menggambarkan Malaysia menyembunyikan sesuatu.

Isnin lalu, Jong-nam, 45, maut selepas mukanya diserkup dengan kain mengandungi cecair beracun di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum menaiki penerbangan ke Macau.

Setakat ini, empat suspek telah ditahan berhubung kes berkenaan, termasuk dua wanita.

Rabu lalu, suspek pertama seorang wanita yang juga pemegang pasport Vietnam, Doan Thi Huong ditahan di klia2, manakala rakannya, seorang warga Indonesia, Siti Aisyah pula ditahan di Ampang pada pukul 2 pagi keesokan harinya. – MalaysiaGazette