KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Projek River of Life (ROL) yang dilancarkan pada tahun 2011 bakal mengubah kualiti air sungai utama di Lembah Klang daripada tahap tidak selamat kepada tahap selamat untuk kegunaan rekreasi.
Perdana Menteri berkata, kerja-kerja pembersihan di bawah projek itu kini sudah 72 peratus selesai dan beliau tidak mahu mana-mana pihak leka dan mengambil sikap sambil lewa dalam menyempurnakan projek itu.
“Saya percaya melalui Projek ROL, potensi bandaraya Kuala Lumpur bakal direalisasikan apabila aset sungai yang wujud dapat digunakan secara optimum dan pada masa yang sama, alam sekitar kita dapat dipelihara.
“Semua kerja mestilah disiapkan mengikut jadual menjelang tahun 2020, jika tidak lebih awal,” kata Najib menerusi catatan di laman blog, najibrazak.com hari ini.
ROL adalah Projek Permulaan di bawah Greater Kuala Lumpur/Klang Valley, bertujuan menghidupkan semula sungai Klang dan Gombak dalam bandar, mengubahnya sebagai kawasan ‘waterfront’ berkembang maju dengan nilai ekonomi dan komersial melalui pembersihan sungai, pengindahan sungai dan pembangunan tanah.
Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan sepanjang 110km yang meliputi lapan sungai iaitu Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Jinjang, Sungai Keroh, Sungai Bunus, Sungai Ampang, Sungai Klang dan Sungai Keroyong.
Sementara itu, hari ini Najib turut melawat dan meninjau perkembangan tapak program ROL di Masjid Jamek, di sini.
Dalam lawatan kira-kira 30 minit bermula 5 petang itu, perdana menteri diiringi Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Datuk Seri Idris Jala.
Najib berkata ROL menggunakan kaedah pembersihan sungai dikenali ‘Interceptor system P7’ yang akan membantu meningkatkan kualiti air dengan cara menyekat dan merawat air longkang yang kotor.
Beliau berkata paip-paip Interceptor akan melencongkan air sisa dan kotoran dari rumah, premis komersial dan bangunan ke loji rawatan untuk dirawat sebelum menyalurkan Kelas IIB (selamat untuk kegunaan rekreasi dan tubuh” ke sungai.
“Loji ini akan berupaya menyediakan persekitaran kondusif secara semulajadi bagi pembiakan mikroorganisme aerobik yang berupaya menyahkan ‘Biochemical oxygen demand (BOD) ammoniacal nitrogen’ dan pepejal terampai,” katanya.-MalaysiaGazette