Home Utama Pyongyang luah rasa tidak yakin siasatan PDRM

Pyongyang luah rasa tidak yakin siasatan PDRM

Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol membaca kenyataan media berhubung pendirian Pyongyang mengenai kematian Kin Jong-Nam.

KUALA LUMPUR – Pyongyang hari ini meluahkan rasa tidak yakin ke atas siasatan yang dijalankan oleh pasukan polis Malaysia berhubung kematian Kim Jong-nam.

Menerusi sidang media yang diadakan di hadapan kedutaan Korea Utara di Damansara Height petang ini, Duta Korea Utara, Kang Chol membuat pendirian bercanggah berhubung penyiasatan pembunuhan kematian abang pemimpin Korea Utara itu.

“Sudah tujuh hari berlalu sejak kejadian itu, tetapi tidak ada bukti jelas mengenai punca kematian dan pada ketika ini, kami tidak boleh mempercayai siasatan oleh polis Malaysia walaupun, akan memperolehi laporannya.

“Ini hanya menimbulkan keraguan bahawa mungkin ada tangan lain di sebalik siasatan itu,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas Kang Chol dipanggil Wisma Putra kerana komennya sebelum ini menuduh pihak berkuasa Malaysia berpakat dengan ‘anasir ganas’ berhubung siasatan kematian Jong-nam yang dipercayai diracun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, minggu lalu.

Duta itu turut mempersoalkan permintaan polis mendapatkan DNA bagi mengenal pasti jasad Jong-nam.

Jong-nam mati ketika diberi rawatan di klia2 pada pagi 13 Februari lalu ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke Macau selepas berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Pada awal siasatan, polis mengesahkan lelaki yang di kepalanya diserkup secara tiba-tiba dengan kain sebagai Kim Chol.

Dalam pada itu, Kang Chol turut mencadangkan agar siasatan bersama antara Korea Utara dengan Malaysia dilakukan segera.

Tegasnya, cadangan itu dibuat bagi mendapatkan penjelasan lebih baik tentang kes pembunuhan itu.

“Jika Malaysia bersetuju dengan cadangan kami, kami akan menghantar delegasi peguam untuk menyertai penyiasatan bersama-sama polis Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette