Home Politik Husam rasa tercabar kerana dilabel penakut – penganalisis

Husam rasa tercabar kerana dilabel penakut – penganalisis

Datuk Husam Musa hadir secara tiba-tiba dalam ceramah Pas menimbulkan kekecohan di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.

KUALA LUMPUR – Tindakan bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tiba-tiba muncul dalam ceramah anjuran parti itu memperlihatkan beliau tercabar dengan label ‘penakut’ yang dipamerkan dalam ceramah berkenaan.

Menurut Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, tindakan Husam itu rasional memandangkan Pas adalah parti Islam yang kini mengamalkan prinsip politik matang dan sejahtera.

“Boleh difahami bila Husam dan pengikutnya menyertai majlis ceramah tersebut kerana, bila diwar-warkan sebagai penakut, sudah tentu beliau merasa tercabar untuk membuktikan di sebaliknya.

“Sehubungan itu, paling elok jika pihak berkuasa agama khususnya jawatankuasa fatwa kebangsaan dan jawatankuasa fatwa Kelantan bersidang untuk membuat keputusan rasmi mengenai isu perlanggaran bai’ah ini bagi mengelakkan ia dari berlarutan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Husam yang juga Penasihat Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan secara tiba-tiba hadir dalam ceramah Pas yang bertajuk ‘Husam lari dari debat bai’ah’ lalu menimbulkan kekecohan di kalangan peserta.

Ceramah itu diadakan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor itu tiba kira-kira pukul 11 malam kemudiannya menaiki pentas bersalaman semasa seorang veteran Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Jusoh.

 Dr Kamarul Zaman Yusoff
Dr Kamarul Zaman Yusoff

Mengulas lanjut Kamarul Zaman berkata, ceramah bersifat provokatif seperti itu perlu dielak pada masa hadapan.

Ini kerana, ceramah yang membina sepatutnya perlu difokuskan kepada usaha menjelaskan pendirian atau dasar parti mahupun menyerang pendirian atau dasar parti lawan yang bersabit dengan isu semasa.

“Bukan tidak boleh dibuat serangan ke atas individu ini, tetapi selalunya serangan begini dikaitkan dengan kepentingan ramai seperti penyalahgunaan kuasa yang dilakukan dan sebagainya.

“Masa yang sama, saya tidak menyalahkan penganjur sepenuhnya atas kekecohan yang berlaku kerana pihak lawan juga didapati banyak membuat serangan peribadi terhadap mereka sejak kebelakangan ini.

“Sehubungan itu, sangat elok jika prinsip politik matang dan sejahtera diterapkan sepenuhnya sehingga menjadi budaya baru dalam masyarakat di negara ini.

“Saya sendiri akan gembira jika dapat menyaksikan pemimpin parti yang bertelagah, khususnya Pas dan PAN dalam konteks Kelantan, dapat berforum secara bersemuka secara tertib dan rasional di atas pentas yang sama.

“Isu seperti melanggar bai’ah adalah isu besar dan penting, bukan saja dari sudut politik tetapi juga dari sudut agama, oleh itu isu ini perlu dibincangkan dengan lebih terperinci bukan sahaja oleh ahli politik tetapi juga agamawan,” katanya.

Tindakan Husam naik ke atas pentas ceramah dan duduk bersama pemimpin Pas telah mencetuskan kekecohan tatkala Ketua Penerangan Pas Negeri, Datuk Nasuruddin Daud, sedang memberi ucapan mengenai tindakan pemimpin PAN melanggar bai’ah. -MalaysiaGazette.