Home Nasional Kes pembunuhan Kim Jong Nam: HKL jadi tumpuan media 24 jam

Kes pembunuhan Kim Jong Nam: HKL jadi tumpuan media 24 jam

Para wartawan dan jurugambar media temppatan dan antarabnagsa masih berkampung dihadapan Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur meskipun sudah masuk hari ke 8 kes pembunuhan Kim Jong-Nam. foto SAFWAN MANSOR, 22 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Suasana di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur masih menjadi tumpuan media tempatan dan asing yang mahu mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Kumpulan wartawan dan jurugambar silih berganti dan tidak jemu untuk berkampung di hadapan bangunan yang menempatkan mayat mendiang.

Sungguhpun ada dalam kalangan petugas media yang sudah kelihatan lesu, namun sehingga jam 11.30 malam ini mereka masih tidak berganjak menanti sebarang kemungkinan yang berlaku di situ.

Pemerhatian MalaysiaGazette di pekarangan institut berkenaan mendapati, anggota keselamatan sering mundar mandir di dalam kawasan IPFN dipercayai memantau pergerakan awam agar tidak berlaku pencerobohan.

Pintu pagar utama IPFN juga ditutup dan sesekali dibuka untuk kenderaan tertentu keluar masuk terutama ambulans dan kenderaan jenazah.

Keadaan itu mungkin berlarutan sehingga satu tempoh dan yang pastinya segala siasatan kes pembunuhan itu selesai atau lebih tepat lagi mayat mendiang dituntut ahli keluarga.

Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di bawah arahan ejen Korea Utara. Jong-nam secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu.

Polis mendakwa lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di klia2 pada 13 Februari lalu ialah Kim Jong-Nam. – MalaysiaGazette.