JAKARTA – Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz akan melawat Jakarta dan Bali bulan depan, bersama-sama rombongannya seramai 1,500 orang termasuk 10 menteri, kata pegawai Indonesia.
“Ini adalah satu lawatan yang amat bersejarah bagi kami,” kata Setiausaha Kabinet Pramono Anung.
Kali terakhir Raja Arab Saudi melawat Indonesia pada 46 tahun lalu, semasa pemerintahan Raja Faisal.
Raja Salman akan berada di Indonesia 1 hingga 9 Mac ini, menjadikan ia lawatan paling panjang bagi Raja Arab Saudi di Asia pada tahun ini.
Raja Arab Saudi itu akan menghabiskan enam hari terakhir lawatannya dengan berehat di Bali.
Anung berkata, Presiden Indonesia, Joko Widodo berharap lawatan itu akan membawa pelaburan Arab sehingga AS$25 bilion kepada negara itu terutama antara syarikat minyak kedua-dua negara, Pertamina dan Saudi Aramco yang kini bekerjasama menaik taraf loji penapisan Cilacap, Kompleks Loji Penapisan terbesar di Indonesia.
“Kami mensasarkan pelaburan,” kata Ketua Lembaga Pelaburan Indonesia, Thomas Lembong.
Indonesia juga dijangka menandatangani perjanjian kekerapan penerbangan dari Timur Tengah ke Indonesia dan meningkatkan jumlah pelancong.
Selain itu, Indonesia mahu meningkatkan kuora tahunan jemaah haji dan meningkatkan komitmen memperbaiki kesihatan dan keselamatan jemaah dan warga Indonesia di Arab Saudi.
Arab Saudi adalah destinasi utama bagi pekerja Indonesia tetapi Indonesia telah mengharamkankannya pada tahun 2015 selepas dua pekerjanya menjalani hukuman mati. – MalaysiaGazette