Home Sukan RB Leipzig berisiko digantung dari aksi Liga Juara-Juara Eropah

RB Leipzig berisiko digantung dari aksi Liga Juara-Juara Eropah

LEIPZIG – Kelab bola sepak Jerman, RB Leipzig berdepan risiko digantung daripada aksi Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Laporan di Jerman mendakwa kelab Bundesliga itu ditaja dan dimiliki pengilang minuman, Red Bull, mempamerkan aksi terbaik musim ini.

Kelab itu menduduki tempat kedua dalam Bundesliga, lima mata di belakang Bayern Munich dan lapan mata di hadapan Borussia Dortmund.

Namun para penyokong kelab lain tidak senang dengan rangkaian korporat kelab itu dengan mengadakan bantahan.

Bantahan itu bakal membawa kesan buruk kepada masa depan Leipzig apabila Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) bercadang membenarkan hanya satu pasukan yang dimiliki syarikat sama beraksi dalam Liga Juara-Juara atau Liga Eropah.

Red Bull mempunyai satu lagi pasukan, RB Salzburg, beraksi dalam liga Austria dan pasukan tersebut kerap beraksi dalam kancah Eropah.

Memandangkan kedua-dua kelab itu, Leipzig dan Salzburg, dijangka menempah tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah musim depan, salah satunya akan dikeluarkan daripada saingan itu.

Jurucakap Uefa berkata, kesatuan itu akan menelita perkara tersebut selepas ia menerima borang penyertaan daripada persatuan bola sepak negara terbabit pada penghujung musim.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif Leipzig, Oliver Mintzlaff yakin kedua-dua pasukan yang ditaja oleh Red Bull tidak terjejas pada kempen musim depan.

“Jika kami layak, tidak ada sebab untuk memikirkan kenapa kita harus ragu-ragu untuk beraksi di pentas Eropah musim depan,” katanya. – MalaysiaGazette