Home Nasional Kaunter tambahan kendali penumpang bermasalah di lapangan terbang

Kaunter tambahan kendali penumpang bermasalah di lapangan terbang

Ketua Pengarah jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Al dan Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali meninjau penggunaan pengimbas biometrik selepas selesai sidang media Jabatan Imigresen dan MAHB di KLIA, Sepang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.

SEPANG – Jabatan Imigresen dengan kerjasama Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) akan mempertingkatkan kemudahan kaunter tambahan bagi penumpang bermasalah dan menambah baik akses pintu automatik (autogate) di semua lapangan terbang negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia merupakan antara cadangan dan langkah yang dibincangkan dalam mesyuarat kedua-dua pihak berkuasa itu sebagai usaha untuk memudah cara segala urusan yang dihadapi penumpang bermasalah sewaktu pelepasan di lapangan terbang.

Bagi tujuan itu, katanya, pihak Imigresen dan MAHB bekerjasama dengan beberapa lagi agensi antaranya Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kami akan mendirikan kaunter urusan khas yang boleh mengendalikan penumpang bermasalah dengan tindakan sekatan PTPTN, LHDN, Insolvensi untuk ke luar negara atau sebarang tindakan jenayah.

Ketua Pengarah jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, pada sidang media Jabatan Imigresen dan MAHB di KLIA, Sepang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.
Ketua Pengarah jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali, pada sidang media Jabatan Imigresen dan MAHB di KLIA, Sepang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.

“Kita sentiasa berdepan kes-kes ini semasa berurusan dengan penumpang di kaunter imigresen (pintu terakhir) sebelum menaiki pesawat dilarang kerana disekat ke luar negara.

“Ketika itu bermacam masalah dihadapi mereka selain menyukarkan kelancaran pegawai dan kakitangan kami di lapangan terbang sehingga kaunter sesak dan barisan panjang dengan penumpang.

“Maka pelaksanaan kaunter tambahan dengan kakitangan lebih ramai selewat-lewatnya April ini akan menangani segala masalah berkenaan,” katanya pada sidang media di Bilik VIP, KLIA di sini.

Ditanya mengenai sistem kiosk pengimbasan pasport yang sering berdepan gangguan teknikal, Mustafar berkata, masalah itu telah diatasi bersama sistem autogate akses tetapi keberkesanan kemudahan itu ditambahbaik lagi.

‘Masalah itu tidak akan berulang, sebab kita dah selesaikannya, kini sedang menambahbaik keberkesanannya pada tahap terbaik semasa digunakan penumpang di lapangan terbang,” ujarnya lagi.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Badlisham Ghazali yang menyatakan komitmen pihaknya dalam menjalin kerjasama erat dengan Imigresen bagi melicinkan operasi lapangan terbang.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali pada sidang media Jabatan Imigresen dan MAHB di KLIA, Sepang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali pada sidang media Jabatan Imigresen dan MAHB di KLIA, Sepang. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 24 FEBRUARI 2017.

Katanya, mesyuarat berkala hari ini adalah antara perjumpaan penting untuk membincangkan langkah proaktif kedua-dua pihak dalam memastikan operasi lapangan terbang dan keselamatan pintu udara serta penumpang sentiasa terjamin.

“Kita sentiasa memperbaiki dan mengemas kini sistem operasi penerbangan kita di lapangan terbang untuk keselesaan penumpang kita yang semakin meningkat.

“Kelicinan urusan di kaunter oleh penumpang tempatan, mahu pun luar negara penting untuk mengelak sebarang kesulitan.

“Antara insiatif yang dilaksanakan kami ialah tali barisan tambahan mengelak ketidakseimbangan barisan di antara kaunter-kaunter Imigresen, menambah pegawai khidmat pelanggan bergerak di kaunter Imigresen untuk mengurus dan menyelia barisan penumpang bagi memudahkan pelepasan dan ketibaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Comments are closed.