Home Politik UMNO nafi beri geran atau dana kepada usahawan

UMNO nafi beri geran atau dana kepada usahawan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
KUALA LUMPUR – UMNO menafikan terlibat dalam penganjuran pemberian sebarang geran atau dana kononnya bagi membantu usahawan khususnya peniaga kecil dan syarikat baru dengan menjanjikan pulangan berganda dalam tempoh tertentu.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pihaknya telah menerima beberapa aduan berkaitan kewujudan geran atau dana yang mengaitkan nama UMNO bagi membantu syarikat Sdn Bhd dan Enterprise.

“Sehubungan itu, saya ingin menafikan penglibatan UMNO dalam pemberian geran atau dana kepada mana-mana pihak malah UMNO juga tidak pernah melantik mana-mana individu atau mana-mana pihak untuk menjadi ejen dalam skim tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya modus operandi skim itu menyasarkan peniaga-peniaga kecil dan syarikat baru yang mempunyai jumlah modal kecil.

Tengku Adnan menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan taktik mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama UMNO dan sebaliknya membuat semakan dengan ibu pejabat UMNO terlebih dahulu bagi mengelakkan tertipu.

— BERNAMA