ALOR SETAR – Pas memberitahu bahawa pihaknya memerlukan masa untuk mempertimbangkan cadangan berhubung kerjasama ‘pakatan pilihan raya’ yang dibangkitkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media semalam berkata perbincangan ke arah itu perlu diadakan Pas memandangkan parti itu pernah berkali-kali dikhianati sebelum ini.
“Kita ada pengalaman yang cukup banyak dalam pakatan politik… era sekarang ini kita kena pick and choose (pilih dan buat keputusan),” katanya yang seperti yang dilaporkan Bernama.
Pas katanya, pernah dikhianati oleh DAP malah bekas pemimpinnya juga pernah berbuat demikian sehingga menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN) dua tahun lalu.
Justeru Pas memerlukan masa untuk berbuat demikian kerana tidak mahu ‘sejarah hitam’ yang menyelubungi Pas berulang.
Mukhriz dalam satu acara di Port Dickson berkata PPBM sedia untuk menjalin satu kerjasama yakni ‘pakatan pilihan raya’ dengan Pas.
Ia bertujuan mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara Pas-Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Kerjasama antara Pas-PPBM dilihat sukar apabila Presiden Pas Datuk Seri Abdil Hadi Awang bertegas bahawa parti nya tidak akan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP dan PAN.
Malah Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim juga dilihat bercanggah pendapat dengan Hadi berhubung kerjasama berkenaan.
Tuan Ibrahim yang mengetuai rundingan dengan rakan sejawatnya Mukhriz berkata Pas akan meneruskan rundingan untuk bekerjasama dengan PPBM biarpun tanpa persetujuan Hadi.
“Jawatankuasa akan terus berunding dengan PPBM, juga meneliti berapa perkara dan syarat.
“Cuma dalam kerjasama dengan PPBM kita semak beberapa perkara dibuat PPBM sebab Pas tegaskan tidak mahu ada hubungan dengan DAP dan PAN.
“Kita tidak mahu mereka bersama kita tapi kemudian sepentas dengan mereka menyerang Pas. Kita tidak mahu PPBM bersama DAP dan PAN menyerang parti, kita sentiasa semak semua ini,” kata Tuan Ibrahim. -MalaysiaGazette.