Home Politik Pas teruskan rundingan dengan PPBM walaupun pemimpin bercanggah

Pas teruskan rundingan dengan PPBM walaupun pemimpin bercanggah

Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor (dua kiri) bersama Ketua Pemuda PAS Pusat, Yb Ustaz Nik Mohamad Abduh Datuk Nik Abdul Aziz (tengah) bersalaman dengan peserta Seminar Pemikiran Tokoh - Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan kie9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

KUALA LUMPUR – Pas akan tetap berunding mengenai kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) biarpun terdapat percanggahan antara Presidennya Datuk Seri Abduh Hadi Awang dan timbalan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelas Ketua Pemudanya Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, parti itu mengambil pendekatan untuk meneruskan rundingan dengan PPBM dalam menjalankan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

“Pas masih tidak putuskan secara rasmi lagi mengenai kerjasama dengan PPBM. Perbincangan itu masih berlaku walaupun ada percanggahan kata-kata antara Presiden dan Timbalan Presiden tapi mesyuarat memutuskan bahawa rundingan masih berterusan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sebelum ini Abdul Hadi berkata, parti itu tidak akan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Malah keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan PAS sebelum ini, kata Abdul Hadi.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berucap pada Seminar Pemikiran Tokoh - Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan kie9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017
Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berucap pada Seminar Pemikiran Tokoh – Haron Din sempena Mesyuarat Agung Tahunan kie9 (MAT9) di Dewan Muktamar, Pusat Islam Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 FEBRUARI 2017

“Terpulang kepada dia (PPBM) untuk bekerjasama dengan DAP atau Amanah tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut,” kata Abdul Hadi baru-baru ini.

Kenyataan itu nyata bercanggah dengan kata-kata Tuan Ibrahim dalam satu sidang media di ibu kota baru-baru ini.

Tuan Ibrahim yang mengetuai rundingan dengan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Mukhriz Mahathir berkata parti itu akan meneruskan rundingan untuk bekerjasama dengan PPBM biarpun tidak mendapat persetujuan Hadi.

“Jawatankuasa akan terus berunding dengan PPBM, juga meneliti berapa perkara dan syarat.

“Cuma dalam kerjasama dengan PPBM kita semak beberapa perkara dibuat PPBM sebab Pas tegaskan tidak mahu ada hubungan dengan DAP dan PAN.

“Kita tidak mahu mereka bersama kita tapi kemudian sepentas dengan mereka menyerang Pas. Kita tidak mahu PPBM bersama DAP dan PAN menyerang parti, kita sentiasa semak semua ini,” kata Tuan Ibrahim.

Mukhriz sebelum ini berkata parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sedia untuk mahu menjalin ‘pakatan pilihan raya’ dengan Pas bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Malah katanya, PPBM akan berusaha untuk berunding dengan Pas bagi merintis satu “pakatan pilihan raya”.

“Mahu tak mahu kami (PPBM) terpaksa ada (pilih) satu tarikh untuk memuktamadkan adakah kami boleh atau tidak jalin kerjasama dengan Pas walaupun dalam bentuk “electoral pact’ (pakatan pilihan raya)”, katanya dalam satu majlis di Port Dickson.

Mengulas mengenai itu jelas Nik Abduh, cadangan Mukhriz itu akan dibawa ke mesyuarat Pas Pusat tidak lama lagi.

Ujar beliau, perkara itu harus diperhalusi bersama-sama dengan kerjasama politik antara kedua-dua pihak sebelum apa-apa keputusan dicapai.

“Jadi apa yang disebut oleh Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku Timbalan Presiden PPBM mungkin akan dicadangkan dalam mesyuarat.

“Strategi pilihan raya itu saya tidak mahu bincang sebab itu kerja pasukan pilihan raya Pas-PPBM,” katanya lagi. – MalaysiaGazette