LONDON – Pendahulu saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea terus melebarkan jurang dengan pencabar terdekatnya kepada 11 mata selepas menang 3-1 ke atas Swansea City semalam.
Dalam aksi di Stamford Bridge, Cesc Fabregas yang melakukan penampilan ke-300 dalam EPL meletakkan the Blues di hadapan pada minit ke-19 dengan rembatan kuat.
Bagaimanapun kegembiraan itu tidak kekal lama apabila Swansea mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan menerusi Fernando Llorente pada minit ke-45 sebelum separuh masa pertama tamat.
Llorente menanduk masuk bola hasil sepakan percuma Gylfi Sigurdsson ke gawang gol lawan.
Gol penyamaan pada separuh masa pertama itu mencemaskan skuad kendalian Antonio Conte.
Pada separuh masa kedua, Swansea dihadiahkan sepakan penalti oleh Pengadil Neil Swarbrick namun berjaya dinafikan the Blues.
Selepas itu cubaan Fabregas terkena palang gol sebelum rembatan Pedro Rodriguez berjaya meletakkan the Blues di hadapan pada minit ke-72.
Gol ketiga Chelsea hadir menerusi Diego Costa pada minit ke-84.
Fabregas nyaris membuka gol keempat namun berjaya dinafika penjara gol Swansea Lukasz Fabianski.
Kini Chelsea mengungguli carta liga dengan 63 mata daripada 26 perlawanan setakat ini.- MalaysiaGazette