Home Nasional Khaled percaya SPRM ada bukti

Khaled percaya SPRM ada bukti

PASIR GUDANGĀ – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya penahanan beberapa individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdasarkan maklumat atau bukti yang kukuh.

Sehubungan itu, Menteri Besar Johor berkata, biarkan SPRM menyiasat kes itu.

“Saya percaya SPRM buat siasatan berdasarkan aduan yang diterima. Saya tidak fikir SPRM suka-suka buat.

“Biarlah SPRM siasat. Kita tunggu dan lihat,” katanya selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 anjuran Yayasan Pasir Gudang.

Kelmarin, enam lelaki berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam satu operasi serentak yang dilancarkan oleh SPRM.

SPRM berkata, maklumat awal menunjukkan kesemua suspek disyaki telah bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di negeri Johor.

Turut ditahan dua orang pemaju, seorang peguam dan seorang orang awam yang dipercayai terlibat dalam skandal tersebut.

Turut dirampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Selain itu, sebanyak 45 akaun bank milik kesemua suspek melibatkan lebih kurang RM15.5 juta juga telah dibekukan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette