KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Malaysia di New Zealand, dilaporkan lemas di Tasik Karapiro pada tengah hari Isnin.
Kementerian Luar dalam kenyataan di sini mengesahkan insiden itu dan mangsa dikenali sebagai Abdul Amzar Azim Azmi.
“Abdul Amzar telah dijumpai lemas di Tasik Karapiro pada tengah hari ini oleh pihak berkuasa tempatan.
“Allahyarham didapati hilang sejak Ahad 26 Februari 2017 pukul 3.30 petang semasa berada di kawasan tersebut bersama rakan beliau,” sebut kenyataan itu.
Pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington telah berada di Hamilton bagi tujuan penyelarasan dengan pihak berkuasa tempatan dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.
Kementerian Luar menzahirkan ucapan takziah ke atas pihak keluarga dan rakan mangsa yang terlibat dalam insiden ini.- MalaysiaGazette