NEW YORK – Britain meminta Malaysia berkongsi bukti serangan maut agen saraf VX yang digunakan untuk membunuh abang Kim Jong-Un dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya tindakan dapat diambil terhadap Korea Utara.
Duta British, Matthew Rycroft berkata ,maklumat mengenai serangan di lapangan terbang Kuala Lumpur pada 13 Fenruari lalu yang membunuh Kim Jong-Nam hendaklah dihantar kepada pertubuhan itu bagi Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di Hague.
“Jika mereka telah mendapat bukti, mereka perlu menghantar kepada OPCW dan Majlis Keselamatan. Apabila mereka telah melakukan itu, maka kita boleh mengambil langkah ke hadapan,” katanya.
Rycroft berkata, beliau berharap mana-mana negara “dalam kes Malaysia, dengan potensi bukti sesuatu yang serius seperti ini, boleh menyerahkan dengan seberapa segera yang boleh.”
Duta Jepun Koro Bessho pula berkata, terpulang kepada Malaysia untuk membuat keputusan sama ada ia mahu memindahkan maklumat tersebut.
“Pada dasarnya, kami menunggu Malaysia untuk tampil dengan keputusan yang jelas,” kata Bessho.
Malaysia adalah penanda tangan Konvensyen Senjata Kimia, yang bertujuan untuk menghapuskan penggunaan agen toksik.
OPCW dalam kenyataannya Jumaat laly berkata, Malaysia sudah mengenal pasti agen saraf VX yang digunakan dalam pembunuhan di lapangan terbang pada 13 Februari lalu.
“Mana-mana penggunaan senjata kimia amatlah membimbangkan”, kata OPCW sambil menambah ia sudah bersedia untuk menawarkan kepakaran dan bantuan teknikal kepada Malaysia.
Misi Malaysia ke PBB tidak memberi respons segera mengenai rancangan itu. – MalaysiaGazette