Home Ekonomi Bursa akhiri dagangan lebih tinggi

Bursa akhiri dagangan lebih tinggi

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup tinggi hasil sokongan belian secara menyeluruh, selari dengan prestasi di bursa serantau.

Pada jam 5 petang, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 17.98 mata kepada 1,715.67, selepas bergerak antara 1,701.14 dan 1,717.14 di sepanjang dagangan.

Indeks dibuka 3.45 mata lebih tinggi kepada 1,701.14 berbanding 1,697.69 pada penutupan Rabu.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 595 berbanding 308 dengan 369 kaunter tidak berubah, 424 tidak diniagakan dan 15 lagi digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.13 bilion unit bernilai RM3.05 bilion berbanding 3.02 bilion unit bernilai RM2.33 bilion pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, bursa tinggi di sepanjang sesi dagangan dengan sokongan belian berterusan secara menyeluruh, diketuai Maybank dan Petronas Chemicals. Bursa Asia mengambil petunjuk Wall Street hasil dari pada tahap keyakinan tertinggi ke atas pertumbuhan global dan cadangan kenaikan kadar faedah AS bulan ini, katanya.

“Pelabur bersikap positif ke atas janji Presiden AS Donald Trump untuk membuat pelaburan besar dalam infrastruktur, menurunkan cukai korporat dan memudahkan kawal aturan,” katanya.

Nikkei 225 Jepun meningkat 0.88 peratus kepada 19,564.80, Kospi Korea Selatan meningkat 0.53 peratus kepada 2,102.65 dan Straits Times Singapura meningkat 0.33 peratus kepada 3,131.37.

Hang Seng Hong Kong bagaimanapun susut 0.20 peratus kepada 23,728.07. Bagi kaunter wajaran tinggi, Maybank meningkat 13 sen kepada RM8.75, Public Bank dan TNB masing-masing meningkat empat sen kepada RM19.98 dan RM13.58, Sime Darby menambah lapan sen kepada RM9.12 manakala Petronas Chemicals meningkat 20 sen kepada RM7.50.

Antara saham aktif, Dagang Nexchange warrant meningkat tiga sen kepada 21 sen, Dagang Nexchange menambah 1.5 sen kepada 44 sen, dan Censof Holdings warrant menokok satu sen kepada 16 sen.

Hibiscus Petroleum kekal pada 49 sen. Indeks FBM Emas melonjak 125.91 mata kepada 12,107.78, Indeks FBM Emas Syariah menokok 112 mata kepada 12,541.84 manakala Indeks FBMT100 meningkat 123.47 mata kepada 11,789.31. FBM Ace meningkat 28.4 mata kepada 5,261.54 dan FBM 70 melonjak 147.41 mata kepada 14,102.83.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan menambah 224.18 mata kepada 15,312.07, Indeks Perusahaan meningkat 21.43 mata kepada 3,256.09 dan Indeks Perladangan meningkat 60.67 mata kepada 8,138.93.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 2.36 bilion unit bernilai RM2.92 bilion berbanding 2.31 bilion unit bernilai RM2.24 bilion sebelumnya. Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 464.35 juta saham bernilai RM82.68 juta berbanding 497.58 juta saham bernilai RM69.16 juta semalam.

Waran melonjak kepada 301.51 unit bernilai RM42.44 juta berbanding 209.87 juta unit bernilai RM25.36 juta sebelumnya. Barangan pengguna menyumbang sejumlah 118.15 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (404.08 juta), pembinaan (172.49 juta), perdagangan dan perkhidmatan (1.12 bilion), teknologi (207.95 juta), infrastruktur (9.25 juta), SPAC (10.86 juta), kewangan (108.82 juta), hotel (871,200), hartanah (156.80 juta), perladangan (33.77 juta), perlombongan (77,500), REIT (15.17 juta), dan dana tertutup (17,400). – MalaysiaGazette