Home Sukan Juventus sedia ikat Sanchez dengan nilai RM134 juta

Juventus sedia ikat Sanchez dengan nilai RM134 juta

Alexis Sanchez

LONDON – Sejak bintang Alexis Sanchez kecewa dengan prestasi semasa Gunners dalam liga domestik di England dan pentas Eropah, pelbagai spekulasi menyelubungi pemain itu.

Jika semalam, pemain itu dikatakan mahu meninggalkan Arsenal pada akhir musim ini untuk menyertai Sevilla, hari ini pemain itu pula dilaporkan akan menyertai Juventus.

Laporan di Itali mendakwa pemain antarabangsa Chile itu bersedia untuk menyertai pasukan gergasi Serie A dan akan meninggalkan stadium Emirates akhir musim ini.

Pemain itu juga dikatakan tidak berhasrat untuk memperbaharui kontraknya bersama Arsenal.

Yuran perpindahan sekitar £25 juta bakal dipersetujui untuk membolehkan pemain berusia 28 tahun itu ke Turin.

Pengarah Juventus, Fabio Guild dan Guiseppe Marotta mahu membawa masuk Sanchez dan pemain tengah Lyon, Corentin Tolisso.

Kontrak Sanchez di stadium Emirates akan berakhir pada Jun 2018 dan pemain itu dijangka tidak akan menandatangani kontrak baharu di Utara London.

Sanchez mahu gaji sebanyak £250,000 seminggu di Arsenal.

Walaupun beberapa siri perbincangan diadakan sebelum ini antara agen Sanchez dan pengurusan tertinggi the Gunners, Sanchez dijangka tidak akan mempersetujui kontrak baharu.

Juventus yang memantau situasi pemain Chile itu di stadium Emirates, kini dilaporkan bersedia untuk mengikat khidmatnya.

Arsenal dalam hal itu dilihat tidak sanggup berisiko kehilangan pemain berkenaan tanpa keuntungan pada musim depan dan mungkin dipaksa melepaskan Sanchez musim ini.

Juventus kian lama mengintai prestasi Sanchez dan cuba membeli pemain itu semasa dia meninggalkan Udinese pada tahun 2011.

Sanchez menyertai Barcelona sebelum berhijrah ke Arsenal tiga tahun kemudian.

Sanchez telah menyumbang 20 gol dalam 34 penampilan bersama the Gunners musim ini dan pemergiannya pada akhir musim ini akan menjadi tamparan hebat kepada Arsene Wenger.- MalaysiaGazette