Home Nasional Duta Besar Korea Utara masih tidak kelihatan

Duta Besar Korea Utara masih tidak kelihatan

Para wartawan mengerumuni kenderaan Kim Yu-song yang keluar dari kedutaan tersebut pada kira-kira jam 7 pagi ini. foto SAFWAN MANSOR, 05 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tinjauan Malaysia Gazette sejak jam 6 pagi tadi mendapati masih belum kelihatan Duta Besar Korea Utara, Kang Chol di kedutaan negara itu di Bukit Damansara.

Malah yang kelihatan hanya konsulat kedutaan, Kim Yu-song yang keluar masuk ke bangunan kedutaan berkenaan sejak awal pagi tadi.

Beberapa kenderaan rasmi Korea Utara turut didapati keluar masuk tanpa sebarang kenyataan mengenai pengusiran duta berkenaan oleh Kementerian Luar semalam.

Dalam pada itu, kelihatan beberapa individu tidak dikenali turut memasuki bangunan kedutaan.

Malaysia mengusir Kang Chol dengan mengarahkan beliau meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam, selewat-lewatnya pukul 6 petang Isnin ini.

Ia berikutan kegagalan beliau menghadirkan diri di Kementerian Luar pada Jumaat.

Kegagalan Kang Chol menghadirkan diri di Wisma Putra menyebabkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai Persona Non Grata yang bermaksud ‘Orang yang Tidak Dihargai’.

Seseorang yang diisytiharkan sedemikian dilarang memasuki atau terus berada di sesebuah negara.

Pengusiran itu juga disebabkan oleh kegagalan duta besar itu mengemukakan permohonan maaf secara bertulis atas kecaman yang dibuat terhadap kerajaan Malaysia. -MalaysiaGazette