Home Sukan Kami tidak berlatih sepakan penalti 4 bulan – Mourinho

Kami tidak berlatih sepakan penalti 4 bulan – Mourinho

MANCHESTER – Jose Mourinho mendakwa kegagalan Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol melalui sepakan penalti menentang Bournemouth kerana pemain-pemain Manchester United tidak berlatih sepakan itu selama empat bulan.

United dianugerahkan sepakan penalti di separuh masa kedua tetapi percubaan Ibrahimovic itu dinafikan penjaga, Artur Boruc, yang juga menyelamatkan sepakan penalti bekas penyerang United, Louis Saha lebih 10 tahun yang lalu.

Sepakan penalti itu adalah yang pertama untuk United dalam Liga Perdana sejak Ogos dan hanya yang ketiga di sepanjang musim ini.

“Tiada sesiapa yang bertanya kepada saya mengapa kami gagal dalam sepakan penalti,” kata Mourinho.

Apabila wartawan bertanya, dia menjawab: “Kerana selama empat bulan kami tidak berlatih (sepakan penalti).

“Pemain-pemain memutuskan tidak berlatih untuk mengambil penalti kerana kami tidak pernah mendapat penalti untuk memerlukan kami berlatih.”

Ibrahimovic berjaya menyudahkan sepakan penalti menentang Southampton dalam perlawanan kedua kempen Liga dan dalam kemenangan 3-0 ke atas St Etienne pada bulan lalu.

Dalam kedua-dua perlawanan itu, dia menyepak leret ke sudut kiri bawah dan mensasarkannya sekali lagi pada perlawanan semalam tetapi Boruc menghalangnya daripada menghasilkan gol peribadinya yang ke-27 untuk United. – MalaysiaGazette