Home Politik Kelayakan Shafie mahu jadi Ketua Menteri Sabah diragui

Kelayakan Shafie mahu jadi Ketua Menteri Sabah diragui

Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal
KOTA KINABALU – Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (BN) mempertikaikan kelayakan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi Ketua Menteri Sabah berdasarkan rekod pencapaiannya ketika menjadi menteri Kerajaan Persekutuan.

Presidennya Datuk Zulkarnain Mahdar berkata keupayaan Shafie untuk menduduki tampuk jawatan Ketua Menteri berkenaan diragui atas kegagalannya menyelesaikan masalah kemudahan infrastruktur asas luar bandar Sabah dan Sarawak semasa memegang jawatan menteri KKLW selama lima tahun.

Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seorang bekas menteri persekutuan, yang kini mengetuai sebuah parti pembangkang, telah meminta jawatan ketua menteri Sabah.

Najib menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri itu.

Walaupun beliau tidak menyebut nama, tapi Najib dipercayai merujuk kepada Shafie.

Zulkarnain dalam kenyataan di sini hari ini berkata apa yang berlaku jelas kelihatan masih banyak lagi (masalah) jalan raya, (bekalan) elektrik dan air bersih telah gagal dilaksanakan dengan jayanya oleh Mohd Shafie.

“Sungguhpun kementerian yang diterajuinya telah menerima peruntukan hampir 20 bilion ringgit dalam tempoh lima tahun,” kata beliau.

Beliau berkata, Mohd Shafie juga langsung tidak pernah menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan menteri Kabinet negeri berkaitan bagi membincangkan masalah dan keperluan rakyat.

Justeru katanya, bagaimana mungkin Mohd Shafie mengetahui apakah projek rakyat yang mendesak dan perlu kepada pembaikan segera kalau beliau (Shafie) membelakangkan Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini?.

“Justeru jika perbandingan corak kepimpinan Ketua Menteri Sabah ketika ini iaitu Datuk Seri Musa Aman dengan Shafie Apdal jelas menunjukkan Datuk Seri Musa Aman adalah seorang Ketua Menteri Sabah yang terbaik.

“Selepas hanya 11 tahun mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tan Sri Chong Kah Kiat dengan rizab kewangan terdahulu hanya 180 juta ringgit kini berjumlah 3.2 bilion ringgit,” katanya.

Menurutnya pembangunan yang rancak di Sabah juga jelas dan amat ketara di bawah kepimpinan Musa.

Semalam, Mohd Shafie berkata beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi ketua menteri Sabah, malah beliau pernah menolak tawaran itu.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata beliau sepatutnya bertanding di kerusi negeri jika beliau mahu menjadi ketua menteri Sabah, dan bukan di kerusi parlimen.

— BERNAMA