Home Nasional Lelaki rentung dalam kereta terbabas di Batu Uban

Lelaki rentung dalam kereta terbabas di Batu Uban

Kemalangan berlaku di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu,berdekatan bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Batu Uban.

GEORGETOWN – Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu,berdekatan bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Batu Uban, Pulau Pinang di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa Oh Chun Guan, 25, beralamat di Lorong Amoy, di sini maut selepas terperangkap di dalam keretanya yang terbakar akibat melanggar pokok di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa memandu seorang diri dari Bayan Lepas menuju ke susur keluar Jambatan Pulau Pinang sebelum terbabas.

“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh pokok mengakibatkan kereta jenis Proton Saga itu terbakar. Mangsa cuba menyelamatkan diri, bagaimanapun terperangkap ketika api
sedang marak membakar keretanya,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Zulkifli Ramli berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit bagi memadamkan kebakaran kereta mangsa.

“Ketika kami sampai di tempat kejadian kami dapati kebakaran melibatkan kereta Proton Saga yang terbakar keseluruhan 100 peratus dan terdapat seorang mangsa telah rentung berada di dalam kereta itu. Operasi terkawal dan padam
sepenuhnya pada pukul 8.05 pagi,” katanya.

Seorang saksi, Mohd Azhar Ridzuan, 32, berkata semasa kejadian beliau sedang menunggang motosikal dan baru balik daripada kerja di Bayan Lepas sebelum berhenti untuk membantu mangsa.

“Saya dan beberapa pengguna jalan raya yang lain cuba membantu dengan mengetuk tingkap dan membuka pintu kereta tetapi semuanya terkunci dan tiba-tiba bunyi letupan sebelum api marak serta kami terpaksa menyelamatkan diri,”
katanya. – MalaysiaGazette