Home Utama Media berkampung di Kedutaan Korea Utara sejak 6 pagi

Media berkampung di Kedutaan Korea Utara sejak 6 pagi

Para wartawan berkampung dihadapan Kedutaan Korea Utara di Malaysia selepas Wisma Putra mengarahkan Duta Besarnya, Kang Chol meninggalkan negara ini dalam tempoh 48 jam. foto SAFWAN MANSOR, 4 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Korea Utara sekali lagi menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa yang berkampung di perkarangan kedutaan itu bagi mengikuti perkembangan terkini pengusiran Duta Besarnya, Kang Chol.

Kira-kira 100 pengamal media tempatan dan antarabangsa berkampung di sini sejak jam 6 pagi, malah ada yang bertindak memasang khemah di hadapan perkarangan kedutaan itu.

Difahamkan Kang Chol tiada di premis Kedutaan Korea Utara ketika ini.

Kelihatan hanya kereta konsulat Korea Utara.

Para wartawan mula membanjiri kawasan hadapan Kedutaan Korea Utara di Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini pengusiran Kang Chol. foto SAFWAN MANSOR, 04 MAC 2017
Para wartawan mula membanjiri kawasan hadapan Kedutaan Korea Utara di Malaysia bagi mendapatkan perkembangan terkini pengusiran Kang Chol. foto SAFWAN MANSOR, 04 MAC 2017

Semalam kerajaan Malaysia memberi tempoh selama 48 jam kepada Kang Chol untuk meninggalkan negara ini, atau selewat-lewatnya pukul 6 petang Isnin ini.

Arahan itu dikeluarkan apabila Duta Besar itu tidak hadir di Wisma Putra semalam setelah beliau dipanggil untuk berbudat demikian.

Kegagalan Kang Chol itu menyebabkan kerajaan Malaysia mengisytiharkan beliau sebagai Persona Non Grata yang bermaksud ‘Orang yang Tidak Dihargai’.

Seseorang yang diisytiharkan sedemikian dilarang memasuki atau terus berada di sesebuah negara.

Ia merupakan bentuk kecaman yang paling serius yang boleh dikenakan ke atas seseorang diplomat asing selain digunakan untuk memberi isyarat tidak senang hati terhadap tingkah laku atau dasar negara penghantar.

Langkah itu merupakan sebahagian proses Kerajaan Malaysia untuk menilai semula hubungannya dengan Korea Utara selain mengenakan visa ke atas warganya yang mahu ke Malaysia, berkuatkuasa esok.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau telah mengarahkan Kang Chol dipanggil ke Wisma Putra dan Duta Besar itu dijadualkan bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin pada pukul 6 petang. -MalaysiaGazette