Home Nasional Elaun khas Bomba dalam pertimbangan untuk kelulusan – Noh

Elaun khas Bomba dalam pertimbangan untuk kelulusan – Noh

Noh Omar

KUALA LUMPUR – Permohonan Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba yang dikemukakan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada kerajaan pusat dua tahun lalu, masih dalam pertimbangan untuk kelulusan.

Menurut Menterinya, Tan Sri Noh Omar, elaun khas itu adalah khusus untuk pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari pelbagai pangkat sebagaimana yang diluluskan kepada agensi penguatkuasa dan keselamatan lain, sesuai dengan risiko yang dihadapi.

Kata beliau, kementeriannya melalui JBPM telah mengambil beberapa langkah dalam memastikan kebajikan setiap pegawai bomba terjamin selaras dengan risiko tugas dan tanggungjawab mereka.

Antaranya langkah itu, jelas Noh, setiap pegawai bomba layak menerima pampasan di bawah Skim Ex-Gratia Bencana Kerja bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan seperti mana termaktub dalam Pekeliling Perbendaraan (1PP) Pengurusan Wang Awam (WP) 6.3.

“Kerajaan telah meluluskan skim insurans takaful berkelompok khusus kepada pegawai bomba bermula tahun 2014 bagi menjaga kebajikan pegawai bomba serta waris dan keluarga mereka jika berlaku kematian, kecederaan atau kecacatan kekal semasa bertugas.

“Dari aspek keselamatan semasa bertugas, pegawai bomba diarahkan untuk mematuhi Dasar Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 2012 berpandukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) bagi mewujudkan budaya kerja yang kondusif dan selamat,” katanya hari ini.

Menurut Noh, dalam melaksanakan operasi kebombaan, setiap pegawai dibekalkan Peralatan dan Pakaian Perlindungan (PPE) seperti helmet, jaket api, sarung tangan, hood dan kasut api bagi memastikan keselamatan semasa bertugas.

Di samping itu juga, ujarnya, JBPM melalui Bahagian Latihan dan Akademi Bomba telah melaksanakan pelbagai kursus dan latihan pengukuhan kepada pegawai di seluruh negara untuk meningkatkan kompetensi dan kemahiran individu bagi menghadapi kebakaran atau kecemasan dengan lebih efektif dan selamat. – MalaysiaGazette