Home Nasional Imigresen Johor pantau pintu sempadan

Imigresen Johor pantau pintu sempadan

Jabatan Imigresen Johor

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Johor akan memastikan tiada warga Kedutaan Korea Utara meninggalkan negara ini menerusi pintu di sempadan Johor-Singapura.

Pengarahnya Datuk Rohaizi Bahari berkata langkah itu akan dilaksana sehingga ada keputusan sebaliknya daripada kerajaan.

“Pemeriksaan imigresen seperti biasa cuma pelaksanaannya sama seperti kes rakyat Malaysia yang tidak dibenarkan keluar jika mereka dalam senarai hitam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Hari ini Malaysia mengeluarkan arahan melarang pegawai dan kakitangan Kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berkata arahan itu adalah sebagai tindak balas terhadap Korea Utara yang menyekat warga Kedutaan Malaysia di sana daripada meninggalkan negara itu.

— BERNAMA