Home Politik Isu YAWAS, bekas MB Selangor bidas Azmin lambat buat keputusan

Isu YAWAS, bekas MB Selangor bidas Azmin lambat buat keputusan

Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membidas Datuk Seri Azmin Ali  kerana  lambat membuat keputusan berhubung isu pelantikan individu muflis dalam Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Khalid berkata, jika semasa pentadbirannya keputusan akan dibuat serta-merta, berbeza semasa pentadbiran Menteri Besar Selangor itu masa ini yang masih tidak mengambil sebarang tindakan walhal hampir dua bulan mereka menyiasat Pengurus Besar YAWAS itu sebagai seorang yang muflis.

“Terpulang kepada mereka, tapi kalau saya lah, saya sudah buat keputusan,” kata Khalid semasa ditemui di lobi Parlimen pagi ini apabila ditanya mengenai tiada sebarang tindakan diambil terhadap Pengurus Besar YAWAS itu.

Mengulas lanjut, Khalid juga mempersoalkan pelantikan tersebut yang dibuat tidak mengikut proses di mana sepatutnya Azmin perlu meneliti biodata seseorang individu yang mahu dilantik dalam agensi penting negeri Selangor kemudian dirujuk kepada exco kerajaan negeri.

“Bila dah buat pelantikan dia dah ada semakan sebab ada tatacara membuat pelantikan.

“Bila buat pelantikan kita ada biodata mereka yang dilantik, lepas itu berdasarkan biodata itu kita dilantik.

“Keputusan mesti dibuat oleh kerajaan negeri atau exco tentukan sama ada maklumat yang diberi itu betul atau tidak,” katanya.

Azmin baru-baru ini mengakui individu yang dilantik menguruskan YAWAS adalah seorang muflis selepas pendedahan dibuat oleh oleh Presiden Gabungan NGO Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal juga membuat laporan kepada SPRM melibatkan penyelewengan dana YAWAS di mana keraguan transaksi dana berjumlah RM200 juta yang sepatutnya digunakan bagi program kebajikan rakyat Selangor tapi disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang bukan di Selangor. – MalaysiaGazette