Home Nasional Jangan ragu-ragu untuk jadi pemandu bas wanita

Jangan ragu-ragu untuk jadi pemandu bas wanita

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri (kiri) beramah mesra bersama pemandu bas wanita Rapid KL yang hadir pada program 'Meet & Greet' bersama golongan wanita dalam sektor pengankutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Bermula sebagai konduktor bas, impian besarnya ingin menjadi pemandu bas tidak pernah padam dalam dirinya.

Bagi Norhanim Md Nor, 32, keterujaan dapat memandu bas merupakan satu perasaan sukar diterjemah.

Jika wanita lain takut untuk memandu bas yang besar dan panjang, ibu kepada tiga anak itu mencabar diri memandu bas RapidKL dua tingkat pula.

“Susah hendak cakap. Bawa bas ini memang seronok. Tambahan pula dapat bawa bas ketika jalan raya yang sesak. Itu lagi memberi kepuasan.

“Malah lebih puas, bila dapat dilihat penumpang yang kita bawa dari mula dia naik dan turun dengan selamat ke tempat yang mereka tuju,” kata Norhanim yang menjadi pemandu bas RapidKL sejak tiga tahun lalu.

Pemandu bas Rapid KL, Norhanim Md Nor bercakap ketika ditemuramah pada program 'Meet & Greet' bersama golongan wanita dalam sektor pengankutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2017.NORHANIM MD. NOR

Norhanim ditemui pada sesi ‘Meet & Greet’ bersama golongan wanita dalam sektor pengangkutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri.

Wanita yang tinggal di Puchong, Selangor itu juga tidak kisah terpaksa bangun awal setiap hari kerana perlu berada di tempat kerja seawal 4.30 pagi.

Dia juga bersyukur dan menganggap pekerjaannya sekarang adalah tugas yang cukup murni iaitu menghantar penumpang dari satu destinasi ke satu destinasi.

Malah dia berharap untuk terus bekerja sebagai pemandu bas selagi mampu demi amanah, ibadah dan kelangsungan ekonomi keluarga.

“Bagi golongan wanita yang memiliki keinginan untuk menjadi pemandu bas, jangan ragu-ragu. Apatah lagi RapidKL sedang membuka pengambilan baharu untuk jawatan pemandu bas.

“Sebenarnya banyak kenangan manis walaupun saya baru tiga menjadi pemandu dan belum ada yang kenangan yang pahit lagi,” katanya tersenyum.

Pemandu teksi, Siti Khadijah Kaus bercakap ketika ditemuramah pada program 'Meet & Greet' bersama golongan wanita dalam sektor pengankutan awam darat (LPT) di stesen MRT Pusat Bandar Damansara. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2017.

Siti Khadijah Kaus

Sementara itu, seorang pemandu teksi wanita berkongsi pengalaman berdepan pesaingan sengit dengan pemandu Uber dan Grabcar ketika ini.

Siti Khadijah Kaus, 46, berkata, sejak kemunculan golongan pemandu tersebut, dia pernah tidak mendapat seorang penumpang pun dalam sehari.

“Hendak buat macam mana tetapi saya tidak boleh berputus asa. Ini punca rezeki saya sejak 13 tahun.

“Dengan rezeki inilah, saya dapat membesar keenam-enam anak saya hingga ke peringkat universiti.

“Cuma saya perlu merancang hidup sejak muncul pemandu Uber dan Grabcar dengan membuka perniagaan membuat kuih pula,” katanya.

Jelas Siti Khadijah, dia tetap bersyukur walaupun tidak memiliki pendidikan yang tinggi namun mendapat rakan di seluruh dunia dan mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

“Sebelum ini, saya pemandu teksi Airport Lima selama 10 tahun dan menjadi pemandu teksi bermeter sejak tiga tahun lalu.

“Jadi saya mendapat ramai rakan-rakan dari luar negara dan penumpang setia yang kini sentiasa memerlukan khidmat saya,” katanya ceria. – MalaysiaGazette