Home Nasional Pyongyang larang semua warga Malaysia tinggalkan Korea Utara

Pyongyang larang semua warga Malaysia tinggalkan Korea Utara

Kedutaan Malaysia di Pyongyang
KUALA LUMPUR – Pyongyang telah mengenakan larangan sementara ke atas semua warga Malaysia daripada meninggalkan Korea Utara, demikian agensi berita Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan.

Media rasmi Korea Utara itu menyatakan Jabatan Protokol Kementerian Luar negara itu, atas permintaan unit yang relevan, pada Selasa memberitahu Kedutaan Malaysia di Pyongyang mengenai keputusan mengenakan larangan itu.

Dalam tempoh berkenaan, diplomat dan warga Malaysia boleh bekerja dan tinggal secara normal dalam keadaan dan persekitaran sama seperti dahulu, menurut laman web KCNA.

Terdahulu, Timbalan Menteri Luar Reezal Merican Naina Merican berkata di Kuala Lumpur 11 rakyat Malaysia di Pyongyang adalah selamat.

Hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang ‘agak tegang’ pada saat ini.

Sebelum ini, Malaysia bertindak mengusir Duta Besar Korea Utara ke Malaysia Kang Chol, dan wakil itu berlepas pulang pada Isnin.

Tindakan itu diambil, antara lain kerana, Kang Chol telah membuat tuduhan liar dan tidak berasas kononnya Malaysia berpakat dengan kuasa asing dalam siasatan kes pembunuhan warga Korea Utara Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas sebagai Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Dilaporkan Kim Chol sedang menunggu penerbangannya ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb bila tiba-tiba dua wanita menyapu mukanya dengan cecair yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Beliau dilaporkan bertindak mendapatkan bantuan di kaunter perkhidmatan pelanggan di lapangan terbang itu dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dalam perjalanan.

Sebagai langkah tindak balas, Pyongyang pada Selasa turut mengusir Duta Besar Malaysia ke Korea Utara Mohamad Nizan Mohamad dan memberinnya masa 48 jam untuk meninggalkan negara itu.

Bagaimanapun, Mohamad Nizan telahpun dipanggil pulang lebih awal, berikutan pembunuhan Kim Chol, untuk perbincangan.

Pyongyang bertindak melarang warga Malaysia meninggalkan Korea Utara dan Malaysia bertindak balas.

Hubungan diplomatik antara dua negara terbentuk pada 30 Jun 1973.

Selama 44 tahun Malaysia kekal sebagai salah sebuah rakan dagang Pyongyang selepas negara itu dipencilkan oleh masyarakat antarabangsa kerana melaksanakan program nuklear dan peluru berpandunya.

— BERNAMA