SEOUL – Satu rakaman video lelaki dalam YouTube yang menggelarkan dirinya Cheollima Civil Defense (CCD) didakwa adalah Kim Han-sol, anak lelaki Kim Jong-nam.
Ia adalah penampilan kali pertama Han-sol sejak bapanya dibunuh.
Bapanya dibunuh di lapangan terbang pada 13 Februari lalu oleh dua wanita dengan menggunakan agen saraf VX.
Pyongyang didakwa bertanggungjawab dengan pembunuhan itu.
“Lelaki itu adalah Kim Han-sol,” kata jurucakap Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan kepada AFP.
Jurucakap itu enggan menjelaskan butiran lanjut tentang lokasi Han-sol atau sebarang maklumat tentang CCD.
Dalam video itu, lelaki itu bertutur dalam bahasa Inggeris: “Nama saya Kim Han-sol, dari Korea Utara, sebahagian daripada keluarga Kim.
“Bapa saya telah dibunuh beberapa hari lalu. Saya kini bersama ibu dan adik perempuan. Kami amat berterima kasih kepada….,” katanya sebelum audio dipotong dan pergerakan mulutnya digelapkan.
Beliau juga menunjukkan pasport diplomatik sebagai bukti identitinya. Tetapi muka surat yang menunjukkan butirannya juga ditutup.
Sebelum mengakhiri rakaman video 40 saat itu, Han-sol berkata: “Kami harap semuanya akan baik-baik nanti”.
Tidak ada petunjuk lokasi dengan tepat video itu diambil.
Han-Sol, 21, dipercayai telah menamatkan pengajian Sains Politik di sebuah universiti di Paris dan telah hidup dalam buangan dengan keluarganya di Macau.
Mereka dilaporkan hilang selepas berita kematian Jong-nam.
Han-sol dilihat sebagai boneka saingan dalam kedudukan bapa saudaranya, Kim Jong-un yang menjadi pemimpin Korea Utara sekarang.
Di laman web – yang berdaftar pada hari Sabtu – CCD berkata, ia melindungi keluarga Kim Jong-Nam.
“Cheollima Civil Defense telah memberi maklum balas pada bulan lalu untuk permintaan kecemasan dengan memberi perlindungan kepada keluarga Jong-nam.
“Tiga ahli keluarga telah dipindahkan ke tempat selamat.
“Kami mempunyai keperluan mendesak lain untuk perlindungan. ni akan menjadi kenyataan pertama dan terakhir mengenai perkara ini khususnya keluarga ini tidak akan memerlukan perhatian.”,” katanya dalam bahasa Inggeris.
Kumpulan itu juga mengucapkan terima kasih kepada negara yang memberi bantuan kecemasan kemanusiaan kepada mereka dalam melindungi keluarga ini termasuk Belanda, China dan Amerika Syarikat, tanpa menyebut kerajaan keempat. – MalaysiaGazette