Home Nasional Diajak jumpa Dr Zakir, Siti Kasim bengang dengan Fathul Bari

Diajak jumpa Dr Zakir, Siti Kasim bengang dengan Fathul Bari

Fathul Bari Mat Jahaya
Fathul Bari Mat Jahaya

KUALA LUMPUR – Siti Kasim, salah seorang daripada 19 individu yang menyaman Dr. Zakir Naik berang dengan tindakan Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya yang mengatur pertemuan dengan pendakwah terkenal itu baru-baru ini.

Peguam liberal yang sering mencetuskan kontroversi itu tidak berpuas hati dengan tindakan Pegawai Khas di Pejabat Penasihat Perdana Menteri itu kerana berani mengaturkan pertemuannya dengan penceramah terkenal, Zakir tanpa berunding dahulu.

“Siapa Fathul Bari ni? Berani dia mengatur pertemuan (dengan Zakir Naik) tanpa berbincang dengan kami dahulu,” kata Siti dipetik dalam laman portal semasa ditemui pada forum RUU355 semalam.

Siti juga mempersoalkan mengapa beliau dan Asiah Jalil sahaja yang diajak bertemu dengan Zakir walhal terdapat 19 individu yang menyamannya di mahkamah.

“Kenapa nak jumpa dengan kami berdua sahaja? Seramai 19 individu yang memfailkan tuntutan. Jumpalah dengan 19 orang sekali,” tambah Siti.

Siti dan Asiah antara dua individu beragama Islam daripada 19 pihak menyaman sivil untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi mengisytiharkan pendakwah itu ancaman kepada keselamatan negara.

Rentetan itu Fathul Bari menyatakan kesediaan untuk mengatur pertemuan Siti dan Asiah dengan pendakwah dari India itu bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan, malah secara peribadi sudah menghubungi Zakir.

Menulis di Facebook, kata Fathul Bari, pertemuan itu bukan perdebatan dan terpulang kepada Siti yang dipanggilnya sebagai ‘auntie’ untuk bersetuju atau tidak.

“Berulangkali saya sebutkan dalam kenyataan saya bahawa saya boleh aturkan pertemuan ‘auntie’ dgn Dr Zakir Naik. Pertemuan bukan perdebatan.

Zakir kemudian membalas menerusi pesanan WhatsApp dengan menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak yang menyamannya. – MalaysiaGazette