Home Akhbar Cina Penganjuran Olimpik KL-Singapura di peringkat pemikiran

Penganjuran Olimpik KL-Singapura di peringkat pemikiran

Malaysia mempunyai kemudahan stadium, lapangan terbang, penginapan, kemudahan asas malahan kereta api berkelajuan tinggi yang diperlukan untuk penganjuran Olimpik.
KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata, ura-ura bahawa Malaysia akan bekerjasama dengan Singapura untuk menganjurkan temasya sukan Olimpik secara bersama sebenarnya hanyalah cadangan awal.
 
Beliau berkata, cadangan penganjuran Olimpik itu masih sangat jauh daripada rancangan yang praktikal.
 
“Untuk setakat ini, ia masih berhenti di dalam pemikiran sahaja.
 
” Saya ada bersembang dengan orang Singapura semasa Olimpik di Rio pada tahun lalu. Pada masa ini, saya lebih berminat dengan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura,” katanya kepada Sinchew Daily.
 
Beliau bagaimanapun berkata, penganjuran secara bersama oleh dua negara adalah sesuatu yang boleh diadakan dan ia juga dapat mengurangkan kos.
 
“Buat masa ini, Singapura masih (tunggu dan) lihat,” katanya.
 
Tunku Imran berkata, Kuala Lumpur berdepan halangan untuk menganjurkan temasya sukan antarabangsa seperti Olimpik kerana Malaysia menghalang sesetengah negara memasuki negara ini.
 
Beliau bagaimanapun yakin Malaysia dan Singapura mampu menganjurkan Olimpik secara bersama.
 
Katanya, Malaysia mempunyai kemudahan stadium, lapangan terbang, penginapan,  kemudahan asas malahan kereta api berkelajuan tinggi yang diperlukan untuk penganjuran Olimpik.
 
Menurutnya, sekiranya semua berjalan lancar dan diputuskan, maka Malaysia akan bercadang membida penganjuran Olimpik 2028 dan 2032.
 
Mengenai penganjuran Sukan SEA pada Ogos, Tunku Imran berkata, secara keseluruhannya semua rancangan berjalan mengikut jadual walaupun ada projek tertentu yang sedikit ketinggalan jadual.
 
“Ini adalah perkara biasa, kami yakin dapat mempersiapkan segalanya mengikut jadual,” katanya. – MalaysiaGazette