Home Utama Beg tangan pelbagai jenama antara rampasan di kediaman Exco

Beg tangan pelbagai jenama antara rampasan di kediaman Exco

Beg tangan pelbagai jenama antara barangan yang dirampas SPRM di kediaman Exco Negeri Johor.

KUALA LUMPUR – Wang tunai RM41,000, Toyota Vellfire dan 150 beg tangan pelbagai jenama dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil pemeriksaan di rumah seorang Exco Negeri Johor.

Kediaman Exco di Johor Bahru itu digeledah selepas beliau ditahan kira-kira 10.50 pagi tadi, bagi mencari sebarang penemuan yang boleh membantu siasatan.

Siasatan terhadap suspek dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Menurut sumber SPRM, suspek akan dibawa ke mahkamah pada pagi esok, untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pada 24 Feb lepas, SPRM menahan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam negeri, selepas dipercayai terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri berkenaan.

Pada 28 Feb pula, SPRM menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan.

Berikutan itu, Exco terbabit memohon cuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri, bermula 1 Mac sehingga siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai. – MalaysiaGazette