KUALA LUMPUR – Penolong Pegawai Bahagian Tadbir Suruhanjaya Malaysia ke Korea Utara di Pyongyang, Nirmala Malarkodi Singaram, 45, dilaporkan sihat dan selamat.
Perkara itu disahkan ahli keluarganya yang tinggal di Kuala Kangsar, Perak seperti yang dilaporkan dalam akhbar Tamil Nesan hari ini.
Kakak kepada Nirmala, Komala Devi Singgaram, 48, memberitahu Tamil Nesan, adiknya memaklumkan dia dan para kakitangan Suruhanjaya Malaysia di negara berkenaan yang lain berada dalam keadaan selamat.
Nirmala berhubung dengannya menerusi mesej WhatsApp semalam.
“Adik saya (Nirmala) seorang pegawai kerajaan. Saya pasti dia tidak akan berdepan masalah di sana.
“Saya sangat yakin beliau dan kesemua kakitangan kita yang ada di sana akan pulang ke tanah air dengan selamat tidak lama lagi,” kata Komala Devi.
Tambah Nirmala, berita Korea Utara yang melarang 11 orang warga Malaysia meninggalkan negara itu telah mengejutkan beliau dan keluarganya.
Pun begitu, ahli keluarganya kembali menarik nafas lega setelah mendapat tahu kesemua kakitangan termasuk adiknya berada dalam keadaan sihat dan selamat di sana.
Komala turut menaruh kepercayaan tinggi ke atas kebolehan kerajaan Malaysia akan mengambil usaha dan tindakan terbaik dan membawa pulang kesemua warga Malaysia.
Komala bercakap kepada pemberita yang berkumpul di kediamannya di Kuala Kangsar untuk mendapatkan reaksinya semalam.
Menurutnya, adiknya Nirmala bertugas di Suruhanjaya Malaysia di Pyongyang sejak tiga tahun lalu dan kali terakhir Nirmala pulang ke negara dan melawat keluarganya ialah pada tahun 2015.
Ibu bapa Nirmala telah meninggal dunia 12 tahun yang lalu.
“Kami percaya dan yakin dengan segala usaha yang diambil kerajaan untuk membawa pulang kakitangan kita dari Pyongyang.
“Selain itu pegawai dari Wisma Putra juga sentiasa menghubungi kami dan berkongsi maklumat keadaan kakitangan kita di Pyongyang dari semasa ke semasa,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette