KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali berkata pindaan keatas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah sesuatu yang wajib dan dibenarkan oleh undang-undang Syariah.
“Akta 355 Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965 adalah wajib dipinda. Hal ini kerana Akta itu menghalang tiga kesalahan Syariah iaitu minum minuman memabukkan, Qazaf dan Zina daripada dihukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 kali sebatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Usul pindaan Akta 355 itu dibuat oleh Hadi di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu bertujuan memperkasakan mahkamah syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.
Hadi membawa usul persendirian mencadangkan pindaan usul itu dengan menaikkan had hukuman penjara kepada 30 tahun, denda hingga RM100,000 dan maksimun 100 kali sebatan.
Hukuman syariah buat masa ini adalah hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan maksimun enam kali sebatan.
Terkini, usul yang dibawa Hadi berada di usul ketujuh dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari ini.
Mengikut pindaan berkenaan, RUU355 dipinda dalam proviso kepada Seksyen 2 dengan menggantikan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali” dengan perkataan “penjara selama tempoh melebihi tiga puluh tahun atau denda melebihi satu ratus ribu ringgit atau sebatan satu ratus kali sebagaimana ditadbir selaras dengan tatacara jenayah Syariah.
“Cadangan pindaan Akta 355 daripada tiga tahun penjara kepada tidak lebih 30 tahun penjara dan daripada RM5,000 denda kepada tidak lebih RM100,000 denda adalah dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh Syariat Islam kepada pemerintah dalam kesalahan Takzir.
“Ketika perbahasan di Dewan Rakyat nanti pelbagai pihak boleh memberikan pandangan sebelum ianya diluluskan menjadi undang-undang negara,” jelas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Parti komponen Barisan Nasional (BN) dan Gerakan semalam memberitahu parti itu memerlukan masa dan ruang untuk lebih memahami usul pindaan RUU355 yang dibawA Hadi Awang sebelum memuktamadkan pendirian mengenai perkara itu.
Menurut Timbalan Presidennya, Datuk Dr. Cheah Soon Hai, Gerakan berharap mendapat perincian itu semasa mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bulan ini.
“Pada hujung bulan ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan mesyuarat BN dan kita yakin agenda mengenai Akta 355 akan dibincangkan,” katanya. – MalaysiaGazette.