KUALA LUMPUR – Selain isi rumah yang berpendapat RM12,000 sebulan permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), terdapat juga permohonan yang mempunyai penyata kewangan lebih RM200,000 turut memohon bantuan berkenaan.
Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, perkara itu ditemui kementeriannya ketika kerajaan mengenakan syarat dokumen sokongan terhadap permohonan berkenaan tahun lalu.
Ujarnya, tujuan utama perkara itu dibuat adalah bagi mengelakkan golongan seperti ini mendapat bantuan berkenaan tatkala ramai lagi yang memerlukan tidak mendapat BR1M.
“Mereka yang mohon tidak menyertakan bukti pendapatan mereka di bawah RM4,000 sebab ramai yang tidak kemuka bukti.
“Tapi ada juga yang menyertakan dokumen sokongan seperti penyata kewangan berbaki RM200,000. Ini tidak menggambarkan mereka golongan yang perlu dibantu. Mungkin pendapatan mereka lebih daripada itu,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette dalam program ‘Do It Together’ bertempat di Projek Pe rumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Titiwangsa itu turut mendedahkan ada dalam kalangan permohonan BRIM yang diterima untuk diproses daripada mereka yang berpendapatan melebihi RM10,000.
“Mana isi rumah yang berpendapatan lebih daripada RM4,000 kita (kerajaan) tidak akan bagi dimana skim BR1M ini untuk pendapatan RM4,000 ke bawah.
“Jadi sesiapa yang pendapatan lebih daripada itu, tidak layak. Dalam berjuta-juta permohonan yang kita terima ada cecah sampai RM10,000 pun ada yang mohon.
“Tahun lalu tidak disemak dokumen, jadi bermula tahun ini kena laksana semakan dokumen untuk memastikan bahawa permohonan perlu disokong dengan dokumen seperti penyata kewangan sebab kita mahu tahu pemohon benar-benar layak untuk terima bantuan kita,” katanya lagi.
Secara keseluruhan, seramai hampir 6,320,769 permohonan telah diluluskan bagi menerima BR1M 2017 yang merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan kebawah.
Bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan diantara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 billion.
“Kalau isi borang tidak ada borang sokongan tidak boleh salahkan kerajaan. Bagaimana kerajaan nak tahu pendapatan isi rumah pemohon.
“Mereka yang mohon tidak menyertakan bukti pendapatan mereka di bawah RM4,000 sebab ramai yang tidak kemuka bukti,” katanya lagi.
Sebelum ini terdapat rungutan daripada permohon yang gagal mendapatkan bantuan berkenaan dikaitkan dengan kegagalan pemohon yang mendaftarkan lesen perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengisytiharkan pendapatan mereka terlebih dahulu menyebabkan permohonan mereka gagal diproses.
Oleh yang demikian, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) membuka ruang kepada semua pemohon yang gagal agar membuat rayuan sehingga 31 Mei depan. -MalaysiaGazette