Home Nasional Jabatan Penerangan sahkan pekeliling beku cuti untuk hadapi PRU14

Jabatan Penerangan sahkan pekeliling beku cuti untuk hadapi PRU14

KUALA LUMPUR – Jabatan Penerangan hari ini mengesahkan ada mengeluarkan surat pekeliling mengenai pembekuan cuti persendirian atau urusan peribadi ke luar negara dalam jabatannya yang tular baru-baru ini.

Menurut Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman, surat berkenaan ditujukan kepada semua kakitangan jabatan itu sebagai persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) sebagaimana menjadi amalan jabatan itu selama ini.

“Adalah tanggungjawab Jabatan Penerangan sejak dahulu membantu Suruhanjaya Pilihan Raya dalam memastikan demokrasi berjalan lancar melalui kempen keluar mengundi, pendidikan tatacara dan kaedah mengundi dalam media dan komunikasi bersemuka menjelang PIlihan Raya Umum.

“Di samping itu tanggungjawab hakiki Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat mengenai dasar-dasar Kerajaan juga dibuat secara berterusan. Menjadi kelaziman juga Surat Pekeliling ini dikeluarkan setahun sebelum tamat tempoh Parlimen bagi mengingatkan seluruh anggota Jabatan agar bersiap sedia menghadapi PRU apabila diisytiharkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular bahawa Jabatan Penerangan ada mengeluarkan Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2014 yang memerlukan semua anggota Kerajaan memohon kelulusan untuk ke luar negara samada tugas rasmi, bercuti persendirian ataupun sebarang urusan peribadi.

Surat berkenaan menyebut bahawa sebarang permohohan ke luar negara atas urusan tidak rasmi atau persendirian mulai 1 Mei depan bagi semua pekerja dibekukan.

Ia memandangkan jabatan berkenaan perlu bersiap sedia bagi menghadapi PRU14 tidak lama lagi.

Dalam pada itu, pekeliling berkenaan hanya melibatkan Jabatan Penerangan yang rata-ratanya terlibat dalam pelbagai aktiviti umpamanya perayaan Hari Kebangsaan, Sukan SEA, Pertabalan KDYMM SPB Yang DiPertuan Agong serta aktiviti advokasi, serta pemasaran maklumat dasar- dasar kerajaan kepada rakyat.

“Surat Pekeliling dalaman Ini juga dikeluarkan kerana ada anggota Jabatan Penerangan yang menempah tiket kapal terbang setahun lebih awal dari tarikh penerbangan mereka bagi mendapat tambang murah dan apabila cuti mereka tidak diluluskan, mereka merayu dengan memberi alasan bahawa tiket telah ditempah dan tidak boleh ditunda tarikhnya.

“Atas kesibukan tugas dan banyaknya program rasmi Jabatan dan Kerajaan, maka Surat Pekeliling membekukan cuti persendirian ke luar negara dikeluarkan khas untuk anggota Jabatan Penerangan sahaja. Ia tidak melibatkan semua penjawat awam sepertimana ditularkan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, pekeliling berkenaan tidak menyentuh cuti dalam negara yang masih boleh dimohon melalui Ketua Bahagian atau Pengarah masing-masing. – MalaysiaGazette.