Home Utama Teresa Kok gila, bantah projek rumah murah rakyat – Ku Nan

Teresa Kok gila, bantah projek rumah murah rakyat – Ku Nan

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (duduk) mencuba dandanan rambut oleh pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) sambil diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan (kanan) dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari (tengah) semasa melawat pameran pada program 'We Care, We Serve' Jom Bantu Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak. foto FAREEZ FADZIL, 12 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas tindakan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok sebagai orang ‘gila’ kerana membantah usaha pembangunan kerajaan untuk menyediakan rumah murah kepada rakyat di kawasan tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan itu mempersoalkan tindakan Kok yang berdemonstrasi di depan pusat komuniti yang akan dijadikan tapak pembangunan perumahan mampu milik di bawah program RUMAWIP walhal semua rumah itu akan dijual dengan harga murah kepada rakyat.

“Semalam di Seputeh, Teresa Kok boleh turun, marah kita nak bangunkan rumah WIP, rumah untuk rakyat yang akan dijual dengan harga murah untuk rakyat. DAP marah, ini gila tak gila?

“Saya minta tolong tuan-tuan dan puan-ppuan buka minda, jangan kita mudah diperdayakan oleh orang-orang khususnya pembangkang, yang dia pandai cakap tak buat, fitnah sana sini, dia salahkan kerajaan lakukan,” kata Tengku Adnan selepas merasmikan program ‘We Care, We Serve Jom Bantu Rakyat’ di Setapak hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Adnan berkata, kementerian bercadang membangunkan rumah lama dan kawasan yang dilihat boleh digunakan untuk kepentingan rakyat bagi memberi peluang rakyat dapat membeli rumah dengan murah.

“Saya rasa dia (Kok) ini gila sikit, saya tidak faham kerana kita ada satu program di mana kita akan bangunkan rumah lama dan juga kawasan-kawasan pada pandangan kita tidak diguna pakai oleh rakyat.

“Jadi kita akan bangunkan semula untuk beri peluang kepada rakyat beli rumah dengan murah,” ujarnya.

Di bawah program pembangunan tersebut, rumah yang dijual kepada orang ramai adalah sekitar RM188 ribu hingga RM245 ribu.

Dalam pada itu, Tengku Adnan juga tidak menolak kemungkinan Teresa bimbang sekiranya masyarakat Melayu semakin ramai di Seputeh dan mempunyai niat jahat mahu menghalang rakyat berbilang kaum menetap dikawasannya itu.

“Barangkali dia fikir demografi dia takut kita bawa orang Melayu lebih ramai dekat Seputeh, dia otak jahat tapi apabila kita laksanakan kita buat untuk semua tidak kira bangsa Cina, India.

“Tapi ini masalah mereka pembangkang, mereka tidak boleh buat, maka dia rasa cemburu dan dia akan buat macam-macam,” katanya lagi.

Semalam, Teresa dan sekumpulan kecil penduduk di Seputeh memegang sepanduk semasa satu sidang media hari ini di seberang jalan dari pusat komuniti tersebut.

Bagaimanapun, satu majlis perkahwinan sedang diadakan di pusat komuniti itu dan protes di seberang jalan itu tidak disenangi sesetengah mereka di dalam bangunan itu.

Beberapa orang, termasuk seorang wanita dan seorang lelaki keluar untuk berhadapan dengan peserta protes itu.

“Tapi apa yang berlaku semalam, ia sepatutnya berlaku, orang tengah kahwin, kenapa buat bising tempat orang kahwin, jangan buat karenah seperti ini,” kata Tengku Adnan mengulas mengenai insiden semasa majlis perkahwinan semalam. – MalaysiaGazette