Home Nasional Zakir sedia berdebat dengan orang Islam jelas munafik

Zakir sedia berdebat dengan orang Islam jelas munafik

Dr. Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Pendakwa terkenal, Dr Zakir Naik menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan orang Islam yang secara jelas menjadi munafik walaupun selalunya menolak untuk berdebat dengan mereka seagama.

Zakir berkata ramai yang mengajaknya untuk berdebat, tapi menegaskan secara prinsip beliau akan berdebat dengan mereka yang bukan Islam.

“Saya boleh berdebat, tetapi bukan dengan orang Islam. Saya sedia berdebat dengan orang bukan Islam atau orang Islam yang jelas munafik.

“Ramai mahu berdebat dengan saya, tetapi saya tegaskan prinsip saya adalah tidak akan berdebat dengan orang Islam,” beliau dipetik berkata dalam satu wawancara.

Terdahulu, Pegawai Khas Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya, menawarkan diri untuk mengatur pertemuan antara Zakir dengan dua individu beragama Islam yang mengemukakan saman bagi menghalang masuk ke Malaysia>

Dua individu itu, Siti Kasim dan Asiah Jalil sebelum ini bersama-sama 19 individu yang lain menyaman Zakir atas alasan membahayakan keharmonian pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Zakir juga menafikan dirinya seorang pengganas seperti dituduh kerana beliau tidak pernah melakukan keganasan dan percaya mereka mempunyai agenda tersendiri, demi kepentingan diri sendiri atau organisasi.

“Saya tidak pernah lakukan pemberontakan atau keganasan terhadap manusia sepanjang hidup. Saya hanya sampaikan mesej kedamaian kepada seluruh manusia

“Ada beberapa pihak yang tidak mahukan kedamaian wujud di dunia ini. Jadi, untuk merealisasikan perkara tersebut, pihak terbabit membuat tuduhan tidak berasas terhadap saya,” katanya.

Mengenai Islamic Research Foundation yang digantung kerajaan India untuk tempoh lima tahun, Zakir menyatakan kesediaannya dibicarakan, tapi mahu ia dilakukan di mahkamah antarabangsa.

“Saya minta Kerajaan India untuk melakukan pendakwaan terhadap saya di mahkamah antarabangsa atau di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette