Home Utama Kerajaan cadang tubuh Mahkamah Khas tangani jenayah seksual kanak-kanak

Kerajaan cadang tubuh Mahkamah Khas tangani jenayah seksual kanak-kanak

Najib Razak (tengah) memukul gong menandakan perasmian Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak : Hentikan!! di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 13 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan mahkamah khas yang mengendalikan prosiding jenayah seksual kanak-kanak selain penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat bulan ini.

Perdana Menteri berkata, penubuhan mahkamah ini berbeza dengan penubuhan Mahkamah Kanak-Kanak sedia ada dan ia adalah bukti komitmen kerajaan dalam melindungi kanak-kanak daripada terus menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Tidak terhenti setakat itu, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan satu mahkamah jenayah khas bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual kanak-kanak yang telah menjadi mangsa.

“Perlu difahami bahawa, mahkamah jenayah khas ini berbeza dengan mahkamah kanak-kanak sedia ada, yang hanya mengendalikan kes-kes di mana pelaku jenayahnya adalah kanak-kanak.

“Sememangnya, dengan kewujudan mahkamah jenayah khas ini, yang akan membantu kerajaan bagi mencapai hasratnya untuk melindungi kanak-kanak secara holistik, sekali gus akan mempercepat dan melancarkan prosiding serta perbicaraan kes yang melibatkan kanak-kanak,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan perasmian Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Bagaimanapun, Najib berkata, kewujudan undang-undang sahaja tidak mencukupi, sebaliknya ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memberi didikan nilai murni dan kekeluargan serta menitiberatkan aspek keagamaan.

“Meskipun begitu, kewujudan undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk menangani sesuatu kesalahan jenayah.

“Pada masa yang sama, aspek pendidikan dan keagamaan serta penerapan nilai-nilai murni dan kekeluargaan, mestilah turut dititik beratkan dan menjadi keutamaan dalam ekosistem bermasyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga melahirkan rasa marah terhadap pedofilia yang berminat dengan kanak-kanak kerana tergamak melakukan perbuatan terkutuk menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa mereka.

“Saya secara peribadi berasa amat sedih dan kecewa, kerana masih terdapat individu-individu yang boleh digelar sebagai pedophile atau pedofilia, yang merujuk kepada masalah kesihatan mental, yakni mereka yang berminat atau tarikan seksual terhadap kanak-kanak.

“Mereka ini tergamak memangsakan kanak-kanak yang tidak berdosa, seperti yang pernah berlaku di dalam kes yang melibatkan warganegara UK, iaitu Richard Huckle, yang didapati bersalah mencabul kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Cadangan penggubalan Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak bakal ke Dewan Rakyat pada sidang kali ini untuk bacaan pertama dan kedua selepas Kabinet meluluskan usul tersebut. – MalaysiaGazette