KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memuji jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei yang memenangi kejohanan perseorangan lelaki Kejohanan All England malam tadi.
Menerusi Twitter Perdana Menteri berkata, Chong Wei telah membuatkan semua rakyat Malaysia berbangga padanya.
“Datuk Lee Chong Wei kamu buat semua rakyat Malaysia berbangga dengan kamu! Persembahan kemahiran hebat dan semangat berjuang,” katanya.
Chong Wei menjuarai perlawanan itu buat kali keempat setelah mengalahkan pemain China, Shi Yuqi dalam pertandingan akhir di Arena Barclaycard, Birmingham, England malam tadi.
Chong Wei yang memenangi pingat perak di Olimpik Rio menang 21-12, 21-10 dalam masa 45 minit.
Sementara itu Najib berkata, pasangan beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying tidak perlu merasa kecewa meskipun gagal melepasi halangan akhir setelah kalah 21-18, 19-21, 16-21 kepada pasangan China, Lu Kai/Huang Yaqiong.
“Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying tidak perlu kecewa dengan pingat perak, permainan baik tadi. Kita akan terus beri sokongan! #AllEngland,” ujarnya.
Peng Soon/Liu Ying menang set pertama 21-18 dan sedang mendahului di set kedua 17-16, namun terganggu dengan keputusan pengadil sehingga menjejaskan rentak permainan mereka dan hilang konsentrasi. – MalaysiaGazette