Gara-gara memandu lawan arus: Seorang maut, empat cedera

BUTTERWORTH – Akibat memandu melawan arus, seorang remaja perempuan ditahan kerana mengakibatkan kemalangan maut seorang pekerja kilang di Km134, Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah, pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 7.50 pagi itu berhampiran susur masuk ke Permatang Pauh menyebabkan mangsa, Mohamad Fandi Rosli, 26, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, polis percaya remaja berumur 19 tahun itu yang memandu Proton Gen-2 memandu dalam keadaan mabuk datang dari arah pagi arah ke utara.

“Kereta jenis Proton Gen-2 itu dipandu secara melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth dan melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu Fandi.

“Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu wanita terbabit terbabas ke sebelah kiri dan melanggar sebuah motosikal sebelum ia berpusing beberapa kali dan melanggar pula 2 kereta serta sebuah van kilang,” kata Nik Ros Azhan.

Menurut beliau, insiden turut mengakibatkan wanita terbabit, seorang penunggang motosikal serta 3 pemandu kenderaan lain mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Sementara mayat Fandi dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Mangsa berasal dari Sungai Petani, Kedah dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas habis bekerja di sebuah kilang di Perai.

Polis bagaimanapun telah menahan wanita terbabit serta mengambil sampel darah untuk ujian lanjut.

Beliau berkata, kemalangan yang berlaku ketika orang ramai bergegas ke tempat kerja itu menyebabkan kesesakan teruk sejauh 5km di kedua-dua arah lebuh raya. – MalaysiaGazette.

Sebelum Kemalangan

Selepas Kemalangan