Home Nasional Kereta terbabas dalam gaung: Dua beradik, seorang rakan maut

Kereta terbabas dalam gaung: Dua beradik, seorang rakan maut

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Persona itu yang menuju ke Sungai Rengit di sini hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadamg jalan dan jatuh ke dalam gaung.

KOTA TINGGI – Dua beradik dan seorang rakan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam 8 meter di KM 60 Jalan Kota Tinggi – Sungai Rengit berdekatan Empangan Seluyut di sini dalam kejadian pada 10 pagi ini.

Mereka yang maut di tempat kejadian ialah pemandu kereta jenis Proton Persona, Norhaizam Ngatino, 34 dan adiknya Muhamad Izwan, 23, (penumpang depan) dan rakan mereka, Mohamad Inderul Zain, 32, (penumpang belakang kiri).

Dalam kejadian itu, seorang lagi adik pemandu berusia 26 tahun yang merupakan penumpang bahagian belakang sebelah kanan cedera parah di bahagian kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi di sini.

Dari kiri, Muhamad Izwan Ngatino, Mohamad Inderul Zain dan Norhaizam Ngantino
Dari kiri, Muhamad Izwan Ngatino, Mohamad Inderul Zain dan Norhaizam Ngantino

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitenden Rahmat Othman berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Persona itu yang menuju ke Sungai Rengit di sini hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar penghadamg jalan dan jatuh ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan itu, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang mangsa cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku dipercayai kerana kenderaan itu dipandu laju, malah tiada kesan brek ditemukan di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.